Suami Bongkar Kegiatan Isteri Berkhalwat Dengan Lelaki Lain



Seorang wanita yang juga isteri seorang mekanik disoal siasat oleh pegawai JHEAINS selepas ditangkap berkhalwat dengan teman lelakinya di sebuah hotel di Port Dickson, semalam.


SEREMBAN 20 Jun - Lebur hati seorang suami yang sepatutnya menyambut Hari Bapa hari ini selepas isterinya sendiri ditangkap ketika berkhalwat dengan seorang lelaki di dalam sebuah bilik hotel di Port Dickson dekat sini.

Lebih memalukan ketika ditahan kira-kira pukul 4.25 pagi oleh sepasukan Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) wanita itu hanya memakai tuala manakala pasangannya berpakaian lengkap.

Kegiatan tidak bermoral pasangan berkenaan terbongkar selepas suami wanita itu sendiri melakukan intipan dan terus melaporkan perkara tersebut kepada JHEAINS.

Beliau hanya mahu dikenali sebagai, Zul, 26, telah mendirikan rumah tangga sejak lima tahun lalu dan dikurniakan dua cahaya mata berusia empat dan tiga tahun.

Katanya, dia bekerja di Kuala Lumpur manakala isterinya yang berusia 28 tahun bekerja di Pasir Besar, Jempol dekat sini sebagai Pembantu Perpustakaan.

"Saya menyayangi sepenuh hati saya tetapi dia (isteri) bersikap sebegini dengan saya.

"Bagaimanapun, kira-kira enam bulan yang lalu saya mula mengesyaki sesuatu tidak kena dengan isteri saya apabila dia mula rapat dengan seorang lelaki yang berusia 21 tahun," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zul berkata, lelaki itu yang masih bujang bekerja di sebuah agensi kerajaan dan pejabat mereka terletak dalam satu bangunan.

"Apabila saya bertanya, isteri saya memberi alasan bahawa lelaki itu hanyalah adik angkat dan mereka juga selalu berjumpa kerana menyertai satu peniagaan jualan langsung.

"Namun, saya tidak menyangka bahawa itu hanyalah helah isteri saya dan dengan kuasa Allah semuanya terdedah semalam," ujarnya.

Menceritakan semula mengenai kejadian tersebut, Zul berkata, isterinya itu berada di Port Dickson untuk menghadiri satu kursus selama dua hari di sebuah hotel bermula kelmarin.

''Walaupun isteri saya sudah meminta izin untuk mengikuti kursus itu namun hati saya berasa sangsi dan saya memutuskan untuk 'mengintip' isteri saya.

"Ketika saya berada di luar pintu hotel secara tiba-tiba saya melihat sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki menjemput isteri saya di luar lobi hotel kira-kira pukul 11 malam kelmarin," jelasnya.

Menurutnya, dia terus mengekori pergerakan pasangan berkenaan sebelum mereka berhenti dan menyewa sebuah lagi hotel di bandar itu.

"Ketika itu badan saya menggigil kerana marah tetapi saya kuatkan semangat dan terus membuat laporan kepada JHEAINS serta polis.

"Kini setelah apa yang berlaku saya masih belum membuat keputusan sama ada mahu menceraikan isteri saya atau tidak dan cuba mendapatkan nasihat daripada keluarga sebelum membuat keputusan," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.