Pilihlah Mahu Masuk Penjara Untuk Kekal MP atau Sebaliknya: Timbalan speaker

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ahli parlimen Batu, Tian Chua boleh memilih untuk menjalani hukuman penjara dua bulan jika beliau tidak mahu kehilangan kerusi parlimennya itu.

Ketika ditemui wartawan di luar Dewan Rakyat, beliau berkata, memandangkan Tian telah dijatuhi hukuman penjara dua bulan atau denda RM2,000 kerana menggigit tangan anggota polis ketika ditangkap dalam satu protes pada 2007, maka memilih dipenjara boleh mengelakkan persoalan sama ada denda tersebut telah membatalkan kelayakan Tian sebagai ahli parlimen.

Tian, yang menang kerusi parlimen Batu dalam pilihan raya umum 2008, didakwa mengikut Seksyen 32 Kanun Keseksaan, kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada angggota polis yang sedang bertugas.

Oktober lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian.

Beliau mengemukakan rayuan dan Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan tersebut tetapi mengurangkan hukumannya kepada denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Sejak itu, ia telah menjadi bahan perbahasan, sama ada jumlah denda tersebut terangkum di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa sesebuah kerusi parlimen itu akan menjadi kosong jika wakilnya disabitkan oleh mahkamah dan dikena denda "tidak kurang daripada RM2,000."

Junaidi, bagaimanapun, berkata Tian boleh memilih untuk menjalani hukuman dua bulan penjara bagi mengelak risiko terbatal kelayakannya sebagai ahli parlimen berhubung isu denda tersebut.

"Jika Tian Chua memilih untuk menjalani hukuman (dua bulan) penjara, isu ini tidak akan berbangkit," kata Junaidi.

Sementara itu, katanya, pejabat Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sedang menunggu keputusan rasmi Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha.

Speaker akan mengkaji penghakiman Ghazali sebelum memutuskan sama ada untuk membawa kes Tian itu untuk dibahas di Dewan Rakyat.

Memetik kes Fan Yew Teng yang dibatal kelayakannya sebagai ahli parlimen Menglembu pada 1975 selepas dirujuk kepada jawatankuasa hak Parlimen selepas disabitkan kesalahan hasutan, Junaidi berkata "Speaker tidak mempunyai kuasa untuk mengosongkan kerusi tersebut."

Menurutnya, Dewan yang boleh berbuat demikian, bukannya Speaker.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.