Pasukan Pilihanku: Kehebatan Brazil sukar dibendung

Pasukan Brazil meraikan jaringan Elano (kiri) dalam perlawanan kedua kumpulan G menentang Ivory Coast pada 20 Jun di stadium Soccer City, Johannesburg. Imej AFP

JOHANNESBURG, (Stadiumastro) – Kehebatan Brazil nyata sukar dibendung dan Ivory Coast bukanlah lawan sebenar selepas dibelasah 3-1 pada perlawanan yang penuh dengan aksi di Stadium Soccer City.

Brazil berjaya mendahului Ivory Coast 1-0 separuh masa pertama dan memulakan aksi garang dengan corak permainan teratur serta hantaran kemas.

Malahan Brazil melakukan percubaan pertama seawal minit kedua menerusi rembatan jauh 30 ela oleh Robinho tetapi ia sedikit melangkaui tinggi pintu gol Ivory Coast.

Bintang Ivory Coast, Didier Drogba juga tidak kurang hebatnya apabila turut melakukan percubaan pada minit 12 menerusi sepakan percuma tetapi agak mengecewakan kerana terlalu tinggi dan Julio Cesar sekadar memerhati bola melambung tinggi.

Minit ke-15 menyaksikan sekali lagi percubaan menarik daripada sepakan percuma yang diambil oleh Emmanuel Eboue tetapi Cesar membuktikan kehebatannya apabila cepat bertindak menumbuk bola keluar daripada kawasan bahaya.

Asakan demi asakan oleh Brazil akhirnya berjaya pada minit 25 apabila hantaran cantik daripada Kaka kepada Fabiano berjaya disudahkan dengan satu rembatan kencang untuk mematikan langkah penjaga gol, Boubacar Barry.
Anak buah Dunga berjaya mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Penguasaan Brazil semakin ketara pada separuh masa kedua dan menambah dua lagi gol untuk mengesahkan kemenangan serta layak ke pusingan kalah mati.

Lima minit pertama separuh masa kedua menyaksikan Fabiano menambah koleksi golnya dengan mempamerkan teknik kawalan bola yang cantik sebelum melepaskan satu rembatan leret untuk menewaskan Barry.

Ivory Coast tetap tidak menyerah kalah dan terus melakukan asakan, Drogba hampir menjaringkan gol pada minit 53 selepas merampas bola daripada Dindane dengan mudah tetapi percubaannya sekadar melepasi palang gol.

Kaka pada malam ini beraksi dengan hebat dan kreativiti yang dihasilkannya banyak membantu gerakkan merbahaya.

Brazil melengkapkan kemenangan mereka dengan gol ketiga menerusi hantaran Kaka kepada Elano yang berjaya disudahkan dengan cantik pada minit 62.

Menyedari peranan Kaka menjadi kunci utama kepada semua gerakkan, para pemain pertahanan Ivory Coast melakukan tekanan dan bentesan keras ke atasnya.

Dek kehilangan sabar, Kaka dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit 86 namun ulang tayang menunjukkan Abdul Kader Keita berlakon dan merebahkan badannya.

Berlaku kekecohan antara pemain kedua-dua pasukan dan Dunga kelihatan tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil perlawanan Stephane Lannoy.

Gol saguhati Ivory Coast hanya diperoleh pada minit 79 selepas Drogba menanduk masuk hantaran daripada Yaya Toure.

Brazil akan bertemu dengan Portugal manakala Ivory Coast pula akan menentang Korea Utara pada perlawanan terakhir Kumpulan G.

kredit : PASports

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.