Kerajaan Terengganu Tolak Bayaran Premium Felda

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Kerajaan Negeri Terengganu didakwa menolak bayaran premium Felda ke atas sejumlah tanah yang dimajukan di negeri itu, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Ini, katanya ekoran keengganan Felda menempatkan lebih tiga ribu peneroka di atas 14,791.23 hektar tanah yang dimajukan mereka.

Abdul Wahid Endut, walaupun perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan, namun Felda memperlihatkan sikap korporat mereka yang mementingkan keuntungan dan mengenepikan kepentingan rakyat.

"Arwah Tun Razak dahulu hasratnya buka tanah nak menyelesai masalah kemiskinan rakyat.

"Felda sekarang dah jadi badan korporat, dia nak tanah buat ladang untuk dapat keuntungan mengkayakan syarikat," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau terdahulu mengemukakan soalan berkaitan di Dewan Rakyat, meminta Perdana Menteri menjelaskan keluasan tanah yang dimajukan Felda tanpa memasukkan peserta, dan jumlah premium yang belum dibayar.

Menurutnya, bayaran premium Felda kepada kerajaan Terengganu masih tertunggak dan Felda boleh dianggap sebagai "peneroka tanah haram".

"Isu ini kita bincang dalam dewan Dun, penjelasan yang diberikan menggambarkan Felda tidak bayar.

"Sebab itu kami anggap tak bayar premium seperti peneroka tanah haram la," katanya yang juga Adun Wakaf Mempelam.

Ketika menjawab soalan itu, Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Maslan memberitahu, Felda telahpun membuat bayaran premium sebanyak dua kali namun dikembalikan semula oleh kerajaan Terengganu.

Katanya lagi, rundingan antara Felda dengan kerajaan negeri sedang berjalan bagi memutuskan sama ada Felda mahu memasukkan peserta ataupun tidak seperti yang dikehendaki kerajaan negeri.

Kerajaan Terengganu memperuntukkan 48,142.23 hektar kepada Felda untuk dimajukan.

Kawasan 33,351 hektar dimajukan dengan memasukkan 7,463 peserta manakala 14,791 hektar dimajukan oleh Felda Plantations tanpa melibatkan peserta.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.