Tekanan Antarabangsa Israel Mula bebaskan tawanan

Israel, yang menghadapi tekanan antarabangsa berhubung serangannya ke atas flotila kemanusian yang menghantar bantuan kepada Gaza, Isnin lalu bersetuju membebaskan semua tawanannya dari kapal Mavi Marmara, termasuk 12 rakyat Malaysia.

Menurut laporan Reuters, rejim Yahudi itu dijangka menghalau semua 682 aktivis pro-Palestin yang ditawan itu, membabitkan 35 negara.

Pada kejadian itu, sembilan orang dilaporkan terbunuh manakala puluhan yang lain cedera.

Sebelum ini, rejim Israel itu dilaporkan akan mendakwa sebahagian daripada aktivis berkenaan.

Jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata semua tahan akan diusir secepat mungkin dan rejim Zionis itu berharap ia dapat diselesaikan dalam tempoh 48 jam ini.

Sementara itu, AFP melaporkan kira-kira 50 aktivis Turki yang ditahan dalam serbuan tentera Israel itu mula dibebaskan dari penjara, hari ini.

"Kumpulan pertama terdiri 50 negara Turki sudah meninggalkan penjara Beersheva menggunakan bas ke Lapangan Terbang Ben Gurion, dekat Tel Aviv sebelum pulang ke tanah air mereka," kata pegawai kerajaan Israel.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kini dalam perjalanan ke Jordan bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditawan pihak Israel itu.

Beliau berlepas ke Jordan pada jam 10.15 pagi tadi dan dijangka tiba di Amman pada jam 1.30 tengahari waktu Malaysia.

“Anifah diiringi beberapa pegawai Wisma Putra,” kata seorang pembantu beliau.

Seramai 12 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan stesen televisyen Astro Awani berada dalam kapal Turki, "Mavi Marmara", dan mereka dilaporkan selamat dalam serangan itu yang mengakibatkan beberapa sukarelawan terbunuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan Wisma Putra menggunakan semua saluran bagi membebaskan semua tawanan Malaysia yang berada di kapal itu.

Anifah memberitahu pemberita semalam bahawa Wisma Putra sedang mengenal pasti lokasi di mana kesemua rakyat Malaysia itu kini berada.

Jordan dan Turki sudah menyatakan kesediaan untuk membantu membawa keluar rakyat Malaysia itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.