Perlantikan Baru Menteri Dan Timbalan Menteri Bukannya Sekadar Untuk Penuhi Kuota

nb

Maka berakhirlah pelbagai desas desus dan spekulasi mengenai rombakan kabinet, satu perkara yang menjadi perbualan ramai sejak akhir-akhir ini. Akhirnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan rombakan kecil Kabinet yang menyaksikan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dilantik sebagai menteri penuh.

Beliau juga melantik dua Anggota Parlimen dan empat senator sebagai timbalan menteri yang baru, demikian menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri kepada Bernama.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, telah memperkenankan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Baginda pada jam 3.30 petang Jumaat ini (4 Jun) di Istana Negara.

Malangnya entah dari mana sumber yang mereka dapat, portal Malaysiakini.com dalam versi awalnya memberitahu kononnya timbalan menteri dari UMNO seperti Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Johari Baharom telah disingkirkan oleh Najib dalam rombakan kecil tersebut, pulak!

Walaupun pilihan raya umum sudah semakin menghampiri tempohnya, namun Unta Belang ingin mengingatkan semua menteri dan timbalan menteri yang dilantik, perlantikan mereka bukannya 'saja-saja' atau sekadar hendak memenuhi kuota.

Secara umumnya, Unta Belang difahamkan yang tanggungjawab menteri-menteri Kabinet adalah merupakan suatu konvensyen perlembagaan yang penting di negara kita yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen ini

Mereka bertanggungjawab kepada Parlimen atas segala tindakan peribadinya dan setiap menteri adalah bertanggungjawab kepada Parlimen atas segala tindakan (act) atau ketinggalan (omission) yang dilakukan oleh kementeriannya atau kakitangan dan pegawai-pegawai atasan kementeriannya

Oleh yang demikian, Unta Belang ingin tegaskan yang setiap menteri atau timbalannya tidak patut terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah Parlimen seperti skandal seks, rasuah atau salah guna kuasa.

Untuk itu, menteri dan timbalan menteri perlu memantau segala perjalanan kementeriannya bagi memastikan ianya sejajar dengan kehendak yang telah ditentukan oleh perundangan dan pemerintahan negara.

Unta Belang difahamkan, mereka juga mesti bergerak secara berjamaah atau satu pasukan dalam memastikan kesinambungan pembangunan negara akan dapat dicapai dengan jayanya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, sebenarnya garis panduan tanggungjawab ini adalah merupakan suatu konvensyen yang telah DIKANUNKAN.

Lebih penting pada itu, Unta Belang diberitahu yang semua menteri mestilah bertindak dalam memberikan persetujuan dan sokongan terhadap segala dasar dan keputusan yang dibuat oleh kabinet.

Sekiranya mereka tidak berpuashati terhadap dasar atau keputusan tersebut, mereka hendaklah samada menerima keputusan yang dibuat atau meletakkan jawatannya sebagai menteri kabinet.

Unta Belang ingin tegaskan, walaupun ditakdirkan hanya sehari bertahan sebagai menteri atau timbalan, mereka tetap perlu menjalankan tugas secara 'all-out'

Ini adalah amanah dan sudah tentu amanah ini perlu dijalankan dengan sebaik mungkin.

Individu yang dilantik tidak boleh sekadar berlagak dengan 'title' yang dimilikinya, sebaliknya mereka perlu membuktikan kepada Perdana Menteri dan rakyat yang pemilihan mereka adalah tepat dan kena pada masanya.

Tahniah dan syabas kepada semua yang dilantik, tetapi ingat, rakyat sudah semakin cerdik, landskap politik juga semakin berubah. Kalau dulu jangan kata jadi menteri, jadi wakil rakyat pun dah dikira hebat namun kini tidak lagi.

Kehebatan seseorang menteri dan timbalannya bukan lagi dinilai melalui penampilan, percakapan atau imejnya, kini rakyat lebih teruja untuk menilai mereka melalui keputusan yang mereka buat dan kesungguhan yang mereka beri.

Kalau mereka masih gagal membaca mesej ini, silap haribulan inilah kali pertama dan terakhir mereka berada di Putrajaya!

Oleh UNTA BELANG

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.