PRU-13: Ulama PAS gesa Pakatan jana ADUN, MP Berkualiti

MACHANG, 10 Jun — Ucapan dasar Ketua Dewan Ulama PAS Pusat mengajar anggota sayap itu, yang terdiri daripada mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, membuat persiapan menyeluruh termasuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Kita mengharapkan agar pilihan raya umum ke-13 akan menjadikan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat lebih kukuh dan kuat dari yang ada sekarang dari segi jumlah kerusi, terutamanya kerusi yang dimiliki oleh PAS, begitu juga kualiti Adun dan MP sehingga tidak timbul lagi kemelut politik yang tidak berkesudahan seperti yang dialami pada masa lalu,” kata Ketuanya, Datuk Harun Taib.

Beliau tidak memaksudkan isu lompat parti tetapi penganalisis melihat ia merujuk kepada isu wakil rakyat DAP dan PKR keluar parti.

Ucapannya dibacakan oleh timbalannya Datuk Ahmad Yaakob kerana Harun masih pulih daripada serangan strok ringan.

Kata Harun, gabungan tenaga ulama pelapis yang berwibawa dan mempunyai semangat yang berkobar-kobar dengan golongan ulama teras akan menyemarakkan lagi gerak kerja yang disusun.

Malah kata beliau, Pakatan Rakyat dilihat semakin menempuh era kegemilangan.

“Kemenangan di kebanyakan pilihan raya kecil menunjukkan bahawa rakyat semakin meyakini kepada perjuangan Pakatan Rakyat. Umno dan BN mula tidak mendapat tempat lagi dalam hati masyarakat.

“Cukuplah pilihan raya kecil di Sibu menjadi petanda awal kepada keruntuhan kubu BN nanti,” kata beliau dalam ucapan dasar bertemakan “Memperkasa Kewibawaan Ulamak”.

Kata beliau, walaupun tema itu seolah-olah memperkatakan perkara yang sama dengan subtopik akhir pada muktamar tahun lepas, tetapi ia adalah sesuatu yang amat penting khususnya dalam persediaan pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan berlaku dalam waktu “yang semakin menghampiri kita.”

Oleh yang demikian, kata beliau, Dewan Ulama perlu berperanan bukan sahaja sebagai sayap kekuatan parti, tetapi menjadi pusat rujukan kepada rakan Pakatan khususnya dalam pentadbiran negeri.

“Dewan Ulama bukan sahaja perlu dilihat gah oleh ahli parti. Tetapi perlu dilihat hebat dan mendapat perhatian di mata rakan-rakan dari Pakatan.

“Dengan itu, Dewan Ulama di negeri-negeri perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat serta bersedia menjadi rujukan kepada kerajaan negeri untuk memajukan negeri berteraskan kepada sistem siasah Syariah,” katanya.

Hal itu kata beliau, penting bagi memastikan supaya perjalanan kerajaan negeri tidak melencong daripada tuntutan nas dan keadilan Islam.

“Kita tidak mahu keadilan dipandang dengan kaca mata kasar manusia semata-mata. Tetapi keadilan mesti disandarkan kepada Islam.

“Inilah antara peri pentingnya tugas dan peranan Dewan Ulama dalam menempuh era pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya.

Beliau juga memberitahu, kemenangan yang sedia ada wajib dipertahankan oleh kesemua para ulama.

“Persediaan ini mestilah berasaskan kepada undang-undang yang yang telah ditentukan oleh Allah,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.