JAIS Serbu Syarikat Diasas Abuya

Ibu pejabat di Rawang dipercayai cuba hidupkan semula pergerakan Al-Arqam

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu ibu pejabat Global Ikhwan Sdn Bhd yang diasaskan bekas pemimpin kumpulan Al-Arqam, Asaari Muhammad, di Bandar Country Homes, Rawang kelmarin kerana dipercayai cuba menghidupkan semula pergerakan yang diharamkan itu.
Difahamkan, dalam serbuan jam 11.45 pagi hasil maklumat risikan, JAIS merampas pelbagai produk keluaran syarikat itu seperti buku zikir agung yang dipercayai berkaitan dengan ajaran Aurad Muhammadiah.
Sumber memberitahu Berita Harian, JAIS turut merampas dua gambar besar Asaari atau lebih dikenali sebagai ‘Abuya’ serta risalah yang cuba mengagungkan bekas pemimpin Al-Arqam itu.

“Serbuan itu susulan kepada tindakan pengikut Asaari yang mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya bekas pe-mimpin mereka cuma ghaib dan tidak mati baru-baru ini. Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan ketika serbuan dan semua pengikut Asaari memberi kerjasama baik serta tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya semalam.

Ada 18 premis di lokasi serbuan itu tetapi hanya lapan yang diperiksa dan JAIS dijangka mengadakan beberapa lagi serbuan dalam usaha menghalang cubaan menghidupkan kembali kumpulan Al-Arqam.

Berita Harian sebelum ini melaporkan pengikut bekas pemimpin Al-Arqam mencetuskan kontroversi apabila mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya Asaari cuma ghaib dan akan pulang semula pada masa terdekat selepas meninggal dunia 13 Mei lalu.
Di KUALA TERENGGANU, sebuah pusat peranginan terkemuka, Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa, membatalkan tempahan sebuah syarikat yang dikatakan ingin mengadakan seminar membabitkan 300 hingga 400 peserta kerana dipercayai ada kaitan dengan pertubuhan Al-Arqam selepas mendapat nasihat polis negeri ini.

Pengurus Besarnya, Abdul Shaheed Yusoff berkata, pembatalan dibuat kelmarin melalui telefon kepada sebuah ejen pelancongan dari Kuala Lumpur yang membuat tempahan bagi syarikat yang dikaitkan dengan pertubuhan itu.

Tanpa menyatakan nama syarikat berkenaan, beliau berkata Ri-Yaz Heritage menerima pertanyaan tempahan sebuah dewan pada 5 Jun lalu dan sehari selepas itu ejen berkenaan bersetuju menempah Dewan Cindai untuk mengadakan seminar selama tiga hari bermula semalam.

“Kami menerima tempahan seperti biasa sehinggalah pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menemui saya jam 11 pagi kelmarin di sini meminta mempertimbangkan semula tempahan ejen pelancongan terbabit.

“Dalam perjumpaan itu, polis memaklumkan syarikat yang ingin menganjurkan seminar itu dipercayai ada kaitan dengan Al-Arqam yang diharamkan. Berikutan itu saya menelefon ejen pelancongan terbabit dan memaklumkan tidak dapat memenuhi permintaan menyewa dewan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.