Hebat... Pengadil Negara Beraksi Pada Perlawanan Pembukaan Piala Dunia


IPOH, 6 Jun — Malaysia tidak bertanding pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang bermula 11 Jun ini tetapi wakil negara akan “beraksi” pada perlawanan pembukaan antara pasukan tuan rumah Afrika Selatan dan Mexico sebagai pengadil.

Pengadil Subkhidin Mohd Salleh, 44, bakal mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai pengadil keempat pada perlawanan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata Subkhidin adalah wakil Malaysia yang pertama dipilih sebagai pengadil untuk perlawanan Piala Dunia.

“Baru tadi saya diberitahu oleh urusetia Persatuan Bola Sepak Malaysia bahawa Subkhidin mendapat penghormatan sebagai pengadil keempat pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 antara Mexico dan Afrika Selatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

“Walaupun sebagai pengadil keempat, ia merupakan satu penghormatan kepada Malaysia kerana bukan senang untuk terpilih sebagai pengadil perlawanan pembukaan,” katanya.

Raja Ahmad Zainuddin berkata pemilihan Subkhidin, guru Sekolah Menengah Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang, sebagai pengadil pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 itu merupakan satu penghormatan kepada Malaysia dan arena bola sepak negara.

Subkhidin yang mempunyai kelayakan sebagai pengadil Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pernah dipilih untuk Piala Dunia 2006 di Jerman tetapi tidak mengendalikan sebarang perlawanan.

Sebanyak 30 pengadil akan bertugas mengendalikan 64 perlawanan sepanjang kejohanan bola sepak empat tahun sekali itu.

Dua pengadil Malaysia lain pernah dipilih sebagai pembantu pengadil kejohanan itu iaitu Allahyarham Kapten Halim Abdul Hamid di Piala Dunia 1998 di Perancis dan Mat Lazim Awang Hamat pada Piala Dunia 2002 ketika Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah bersama.

Pada kejohanan kali ini, FAM akan mempunyai dua lagi pegawai yang turut terlibat iaitu Datuk Dell Akhbar Khan dalam aspek keselamatan dan Paul Windsor sebagai komisioner perlawanan dan penyelaras gelanggang. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.