EGM Umno Bukit Bendera - Tertangguh Lagi, Kenapa Yer??...

Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Umno Bukit Bendera bagi membawa masuk kembali pemimpin kontroversi Datuk Ahmad Ismail tertangguh sedikit ekoran kelewatan Umno Pulau Pinang mengadakan mesyuarat mereka bulan ini.

Bekas ketua bahagian itu Abdul Jalil Ariffin (kiri) berkata, Umno negeri sepatutnya bermesyuarat bagi membincangkang permintaan bahagian - yang mahukan pemilihan baru diadakan - pada minggu ketiga (minggu lalu) bulan ini.

Bagaimanapun, jelasnya, bagi menumpukan kepada kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April ini, mesyuarat tersebut ditangguhkan sementara waktu.

"Ia dijangka diadakan selepas pilihan raya kecil (Hulu Selangor) Ahad ini," katanya yang masih belum pasti tarikh tepat bagi mesyuarat tersebut.

Pada 29 Mac lalu, Abdul Jalil dan kesemua 36 ahli jawatankuasa Umno Bukit Bendera melepaskan jawatan masing-masing bagi membolehkan Ahmad kembali menerajui bahagian berkenaan.

Ahmad (kanan) pada September 2008 digantung keahlian dan dilucutkan haknya dalam parti bermula September 2008, antaranya kerana didakwa berkata kaum Cina "menumpang" di Malaysia.

Usaha membawa masuk kembali beliau mengetuai bahagian itu bermula Disember tahun lalu selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan menarik balik penggantungan terhadapnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Jalil bagaimanapun berkata, usaha bagi mengadakan EGM tersebut tidak akan tertangguh lama kerana ia "sepatutnya tiada sebarang masalah" dan mereka hanya perlu mengikuti beberapa prosedur biasa dalam parti.

Katanya, menurut prosedur, selepas dibincangkan dalam mesyuarat bulanan negeri, perkara tersebut akan dimajukan kepada MT supaya kebenaran mengadakan EGM tersebut dapat dikeluarkan.

"Dalam bulan 5 atau 6 insya-Allah semuanya akan selesai," katanya yang kini bertindak sebagai timbalan ketua penaja bahagian tersebut.

Barisan baru kepimpinan bahagian itu dijangka bakal mendapat sokongan penuh daripada 226 perwakilan daripada 26 cawangan di seluruh bahagian tersebut, kata Abdul Jalil.

Sementara itu, ditanya sama ada Ahmad akan turut berkempenbagi calon BN di Hulu Selangor seperti yang dilaporkan sebelum ini, Abdul Jalil berkata, Ahmad sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci.

"Pada 2 hari bulan (Mei) ini baru beliau pulang," katanya yang juga akan turut berkempen bersama jentera bahagiannya mulai Jumaat ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.