Polis tidak rancang kaji semula saman ekor - Ketua Trafik

KUALA LUMPUR 9 Julai – Polis tidak merancang untuk mengkaji semula saman ekor ekoran rungutan orang ramai mendakwa tidak menerima notis saman, yang kebanyakannya timbul akibat mereka tidak mengemas kini alamat masing-masing.

Ketua Trafik Persekutuan, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, polis menyediakan saluran mudah untuk pemeriksaan saman seperti khidmat pesanan ringkas (SMS 32728) atau akses internet (www.myeg.com.my).

"Bukankah sudah diberitahu, orang ramai yang sudah berpindah perlu beritahu pada kita atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai alamat baru itu dalam masa seminggu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Abdul Aziz mengulas mengenai rungutan pelaksanaan saman ekor menyusahkan orang ramai kerana tidak menerima notis saman.

Beliau berkata, tindakan menyenaraihitamkan pemilik kenderaan itu bukan untuk menghukum tetapi bertujuan memberi pengajaran kepada mereka untuk lebih bertanggungjawab.

Kebanyakan saman dikeluarkan kerana memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat dan polis mempunyai bukti seperti rakaman gambar kesalahan sebelum mengeluarkan saman berkenaan.

Sejak Sept 2009, pihaknya telah mengeluarkan notis saman kepada lebih 2.5 juta pengguna jalan raya dan tempoh notis juga memadai untuk pesalah membayar sama bagi mengelak daripada disenarai hitam. – Bernama

KDN tubuh jawatankuasa pantau berita palsu

Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan jawatankuasa untuk merangka strategi komunikasi kerajaan selain menangani berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri adalah urusetianya.

"Selama ini kerajaan tidak mengambil tindakan undang-undang yang tegas tetapi kali ini kerajaan berpendapat, jika pembohongan dan berita palsu ini dibiarkan berterusan, pihak tidak bertanggungjawab ini akan menganggap tindakan mereka betul dan rakyat akan terus tertipu," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Hishammuddin berkata bahawa pada mesyuarat pertama jawatankuasa itu tiga hari lalu, dua ketetapan telah diambil iaitu mewujudkan satu pasukan bertindak tahap tinggi dan mengadakan mesyuarat jawatankuasa itu sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

Mesyuarat pertama jawatankuasa itu, yang turut dihadiri Nazri dan Rais, membincangkan juga pindaan undang-undang, latihan untuk pegawai penyiasat, layanan terhadap saksi dan definisi "berita palsu".

Hi
shammuddin juga berkata Kementerian Dalam Negeri akan melaksanakan apa yang dinamakan "Liga Balai" untuk mengukur tahap prestasi dan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat oleh setiap balai di seluruh negara.

"Balai-balai polis yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diberikan penghargaan dan pengiktirafan manakala anggota serta pegawainya akan diberikan insentif.

"Insentif ini adalah sebagai rangsangan untuk memupuk budaya kerja cemerlang dan persaingan sihat di kalangan anggota dan pegawai," katanya.

- Bernama

'Biasiswa khas' untuk aktivis pelajar OLeh Kerajaan Selangor

Seorang pemimpin pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang pinjaman pendidikannya digantung kerana didakwa terbabit dengan pilihan raya kecil Hulu Selangor akan diberikan biasiswa khas.

Aktivis pelajar itu yang juga ahli Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), berkata beliau menerima berita baik itu daripada kerajaan Selangor semalam.

"Saya gembira kerajaan negeri menawarkan biasiswa dan ia mengurangkan beban kewangan saya,” katanya.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum ini menggantung pinjaman Ahmad Shukri Kamaruddin's student loan bersama 1,500 lagi pemohon dari KUIS kerana didakwa terbabit dengan pilihan raya.

Ahmad Shukri bagaimanapun menafikan yang beliau berkempen tetapi hadir pada pilihan raya kecil itu atas kapasiti sendiri dan tidak menyokong mana-mana parti.

Mesyuarat dengan MB

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata dia tidak mempunyai maklumat tambahan berhubung biasiswa itu.

"Saya percaya biasiswa itu hasil perjumpaan saya dengan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dan exco pelajaran Dr Halimah Ali pada 23 Jun lalu berhubung pinjaman pelajaran saya,” kata Ahmad Shukri, yang berperanan aktif dalam politik kampusnya.

Beliau mengikuti kursus empat tahun bagi mendapatkan Ijazah Pengajian Islam (Syariah) dan mempunyai setahun lagi sebelum tamat pengajiannya.

Dekan Hael Ehwal Pelajar KUIS, Muhammad Subari Ramli berkata pihaknya tidak dimaklumkan berhubung biasiswa yang ditawarkan kepada Ahmad Shukri.

"Tetapi 1,500 permohonan baru sedang diproses oleh PTPTN dan tidak ada masalah berhubung perkara itu,” katanya.

Dilema Ahmad Shukri mendapat perhatian umum apabila Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) membawa masalah pelajar itu ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke -Sepuluh di Dewan Rakyat pada 17 Jun lalu.

Kawasan Penemuan Baru Lembah Bujang Dicalon Tapak Warisan Dunia

KUALA LUMPUR: Kawasan penemuan baru tamadun Lembah Bujang di Kedah, bukti tamadun terawal di Asia Tenggara, akan dicalonkan sebagai tapak warisan dunia dalam setahun dua akan datang.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Mohd Mokhtar Saidin berkata, usaha pihaknya dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu perlu dibangunkan dengan teratur.

Katanya, ia supaya bahan-bahan yang ditemui di Sungai Batu di situ dapat dipamerkan dengan menggunakan teknologi terkini selain mampu menarik minat orang ramai.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Lembah Bujang dan Tamadun Awal di Asia Tenggara di sini, Selasa, katanya, masyarakat perlu berbangga dengan penemuan baru itu kerana ia menggambarkan satu tamadun asal yang cukup kuat dengan struktur sosial yang tersusun dan berteknologi tinggi.

Menurut beliau, berdasarkan 10 daripada 87 tapak yang telah dibuka, pihaknya telah menemui dua pusat peleburan besi, tiga jeti yang dibina di tepi sungai dan sebuah bangunan ritual yang masih lengkap, di samping beberapa struktur yang tidak lengkap seperti dewan dan stor. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.