TPM : Luar bandar aset penting negara

Kerajaan tidak akan mengabaikan pembangunan dan kemajuan kawasan luar bandar kerana kawasan luar bandar adalah aset penting negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha menaikkan taraf hidup masyarakat luar bandar dan meningkatkan pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, kerajaan juga akan terus membantu usahawan dan industri desa melalui bantuan pembangunan infrastruktur, bantuan latihan, bantuan modal, pinjaman mudah serta lain-lain lagi.

Muhyiddin berkata, kerajaan mahu membangunkan desa-desa yang berdaya maju dan berdaya saing yang memberi peluang hidup kepada rakyat agar mereka tidak perlu berhijrah ke kawasan bandar mencari nafkah hidup dan peluang ekonomi.

"Sebab itu kita harus jaga aset ini. Setiap satu unit di luar bandar kita anggap sebagai unit ekonomi...maknanya ia boleh menghasilkan pendapatan sendiri...dan boleh menyokong program mereka dengan sokongan dan bantuan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Usahawan Desa 2010 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, di Kuala Lumpur hari ini.

Tak perlu hijrah

Muhyiddin berkata apabila peluang ekonomi yang baik diwujudkan di kawasan luar bandar, maka rakyat tidak perlu berhijrah ke kawasan bandar mencari nafkah hidup kerana sudah ada peluang hidup dan ekonomi di kawasan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri berkata sejak dulu lagi kerajaan mengiktiraf kepentingan kawasan luar bandar, lebih-lebih lagi masih terdapat sebahagian besar penduduk negara tinggal di kawasan luar bandar.

Namun katanya, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini, kerajaan berjaya meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar sehingga berjaya membawa kepada penurunan kadar kemiskinan, peningkatan pendapatan per kapita dan aktiviti dengan nilai ekonomi yang bertambah.

"Yang penting bagaimana kawasan luar bandar dapat dinaik taraf dari segi peluang-peluang hidup yang lebih baik," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kadar kemiskinan luar bandar telah menurun daripada 11.9 peratus pada 2004 kepada 8.4 peratus pada 2009, manakala purata pendapatan isi rumah masyarakat desa pula meningkat daripada RM1,875 sebulan pada 2004 kepada RM2,545 sebulan pada 2009.

"Pencapaian ini membuktikan usaha kerajaan yang gigih serta komited bagi memastikan taraf serta kualiti hidup rakyat terus dipertingkatkan," katanya.

Perniagaan bernilai tinggi

Muhyiddin berkata bidang pertanian yang banyak melibatkan masyarakat dan kawasan luar bandar tidak harus dilihat sebagai satu kegiatan biasa, sebaliknya satu perniagaan yang bernilai tinggi serta perlu ditambah nilai bagi menjana peningkatan pendapatan.

Katanya proses ini memerlukan penghasilan barangan pertanian dan asas tani yang berkualiti serta pembungkusan yang baik, bukan sahaja untuk pasaran tempatan malahan pasaran antarabangsa.

Katanya peluang pasaran antarabangsa terbentang luas termasuk untuk produk halal dan dalam hal ini promosi secara agresif juga penting bagi menembusi pasaran yang penuh saingan itu.

Menurut Muhyiddin, adalah juga penting mewujudkan satu pangkalan data mengenai pengusaha sebagai bahan rujukan untuk pasaran dan pengusaha.

Karnival empat hari bertema "Usahawan Desa Produktif, Luar Bandar Progresif" yang berakhir esok menghimpunkan kira-kira 500 usahawan dan bertujuan mempromosi dan menjual produk mereka kepada orang ramai.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.