Pakar: Tidak ada bukti lombong pasir jejas Paya Indah Wetlands


PUTRAJAYA, 24 Julai — Firma perunding yang dilantik Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) untuk pelan pengurusan alam sekitar bagi lombong pasir di Olak Lempit, Banting hari ini berkata tidak ada bukti menunjukkan kegiatan di kawasan seluas 48 hektar itu menjejaskan Paya Indah Wetlands.

Pengarah Enviro Enhance Sdn Bhd P.K. Geetha (gambar)memberitahu pemberita di sini bahawa firma itu tidak menemui sebarang impak ke atas kualiti air di Paya Indah Wetlands kerana lombong tersebut terletak di hilir kawasan paya berkenaan.

Beliau berkata proses membersih pasir juga dilakukan menggunakan air dari kolam di dalam kawasan lombong milik KSSB.

Ditanya mengenai laporan media yang menyatakan sesetengah spesies burung berhijrah tidak lagi datang ke kawasan paya itu, beliau berkata firmanya akan bekerjasama dengan wakil Paya Indah untuk meneliti perkara tersebut.

Katanya, firma itu juga akan menyarankan beberapa langkah tambahan yang boleh diambil oleh KSSB untuk menguruskan aspek alam sekitar dalam aktiviti perlombongannya.

Sementara itu, Pengerusi KSSB Abdul Shukor berkata syarikat itu berhasrat meningkatkan pengeluaran pasir di Selangor bagi mencegah perlombongan haram.

Katanya syarikat milik kerajaan negeri Selangor itu telah menandatangani perjanjian dengan dua syarikat iaitu Marita Sdn Bhd dan First Reap Sdn Bhd untuk melombong pasir di atas tanah milik persendirian.

Marita akan melombong pasir di atas tanah seluas 20 hektar di Mukim Labu, Sepang, manakala First Reap akan menggali di kawasan seluas 20 hektar di Tanjung 12, Kuala Langat, katanya.

Selangor mempunyai bekalan 500 juta tan pasir yang boleh bertahan kira-kira 30 tahun, katanya pada sidang media itu.

Terdahulu syarikat itu membawa sekumpulan wakil media melawat lombong pasir di Olak Lempik bagi membolehkan mereka melihat sendiri operasi perlombongan. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.