KPN: Bersubahat dengan Raja Petra boleh Dikena tindakan

Individu yang terbukti bersubahat menaja dan menyembunyikan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, boleh dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang bersesuaian jika didapati bersalah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata, sekiranya siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap individu tersebut menunjukkan mereka bersalah, terpulang kepada mahkamah untuk menentukan akta atau undang-undang mana yang sesuai dikenakan terhadap mereka.

"Mahkamah sahaja yang akan tentukan tindakan undang-undang yang sesuai untuk mendakwa mereka, kita hanya boleh cadangkan sesuatu pertuduhan contohnya kesalahan melindungi pesalah jenayah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Musa berkata, polis tidak boleh bertindak melulu untuk mengambil sebarang kenyataan daripada individu tersebut kerana ia perlu dilakukan mengikut prosuder tertentu.

"Kita tidak boleh pergi ke negara lain dan serang (tahan dan ambil keterangan) mereka macam itu sahaja. Setiap negara ada undang-undang mereka, tapi tidak bermakna sebarang tindakan tidak boleh diambil," katanya.

Musa berkata, walaupun polis antarabangsa (Interpol) telah menolak notis arahan merah yang dikeluarkan PDRM untuk menahan Raja Petra, pihaknya mempunyai inisiatif dan strategi lain untuk menahan pengendali laman web itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan strategi berkenaan bagi mengelakkan kebocoran maklumat yang sekaligus boleh mengganggu siasatan polis.

Musa diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang menyiarkan gambar Raja Petra bersama penyiasat persendirian, P Balasubramian, dan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, yang terbukti mempunyai hubungan antara satu sama lain.

Dalam laporan akhbar hari ini, Musa dipetik sebagai berkata PDRM akan memanggil Zaid atau sesiapa yang disyaki terbabit menyembunyikan pengendali laman web itu dalam masa terdekat.

Raja Petra menghilangkan diri daripada dihadapkan ke mahkamah selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, melalui portal berita Malaysia Today.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.