Anwar: PKR masuki gelombang baru perjuangan


Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalam dengan Anwar Ibrahim selepas selesai menyampaikan ucapan penggulungan. - Gambar Jack Ooi

KOTA BARU, 30 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi punca kepada kemunculan Parti Keadilan Rakyat 12 tahun lalu berkata, parti itu kini memasuki gelombang baru perjuangan selepas keluarnya sejumlah wakil rakyat sejak awal 2009.

Penasihat PKR itu berkata, proses pembersihan yang dialami parti itu membolehkannya melangkah ke arah bab baru dalam meneruskan perjuangan dan dasarnya.

“Kalau orang kata sudahkah, sudah habiskah, saya berkata sudah habis bab ini,” katanya.

Bagaimanapun kenyataan itu disusuli dengan dakwaan beliau bahawa “tetapi belum tentu sudah habis sebab sekarang RM2 juta, ia boleh naik RM5 juta dan RM50 juta, dia ada duit.”

Anwar berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional Keenam PKR di sini hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, pelbagai pihak telah berulang kali mengatakan bahawa riwayat beliau dan PKR sudah berakhir sejak 12 tahun lalu.

“Kalau ikut dia bahawa tamat riwayat Anwar, sudah habis 12 tahun yang lalu. Kalau kata tamat riwayat Parti Keadilan, sudah tamat sudah.

“Padsa tahun 2008, pemimpin Umno mengatakan bahawa kalau pun menang, paling maksimum satu kerusi sahaja di Permatang Pauh.

“Ya, itu sebelum pilihan raya tahun 2008,” kata beliau.

PKR dahulu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional.

Ia berhadapan dengan analisis dan dakwaan pelbagai pihak bahawa tindakan seramai 10 wakil rakyat PKR keluar parti sejak awal 2009 akan membawa kepada berakhirnya perjuangan komponen Pakatan Rakyat itu.

Selain wakil rakyat PKR juga berhadapan dengan keluarnya sejumlah kecil pemimpin bahagian dan cawangan serta ahli-ahli parti.

Anwar berkata demikian menjawab soalan yang dibangkitkan oleh perwakilan berkaitan dengan isu melompat parti.

Malah Anwar juga menyentuh tentang bukti yang mendakwa wakil-wakil rakyat yang keluar PKR baru-baru ini menerima ganjaran RM2 juta dan kontrak lumayan.

Anwar sebelum ini mendedahkan perkara itu menerusi satu kenyataan kelmarin dan kemudian pada ceramah di Tanah Merah pada hari yang sama.

Perkara itu turut ditekankan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan sulungnya.

Petang ini, Anwar mengulangi perkara yang sama tanpa mendedahkan bukti yang didakwa ada padanya walaupun pemimpin-pemimpin Umno mendakwa Ahli Parlimen Permatang Pauh sengaja “buat cerita” mengenainya.

“Oh, (mereka kata) Anwar itu pelawak, tah mengapa... tapi Anwar ada bukti,” katanya.

Anwar sekali lagi meminta mereka yang terlibat supaya jangan tanya beliau di mana bukti tentang dakwaannya.

Sebaliknya beliau mahu mereka menafikan dakwaan awal itu terlebih dahulu.

“Kita bawa bukti tentang PKFZ, di mana tindakan? Kita bawa bukti kes (video) V.K. Lingam, di mana tindakannya? Ambil tindakan dulu, baru tanya Anwar di mana buktinya,” kata beliau.

“Saudara-saudara, kita hendak sebut, kita ada bukti,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Anwar juga berkata PKR akan mempertahankan kedua-dua Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan dan Tian Chua dari Batu yang kini menghadapi risiko hilang kelayakan sebagai wakil rakyat ekoran keputusan mahkamah baru-baru ini.

Dengan merujuk ke arah kedua-dua mereka yang berada di pentas barisan kepimpinan, Anwar berkata, mereka juga menjadi sasaran serangan untuk melemahkan PKR.

Anwar berkata, PKR juga akan mengambil beberapa langkah penyusunan semula kepimpinan untuk memantapkan parti termasuk mengambil tindakan-tindakan tegas mendisiplinkan parti.

Mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan Pengerusi PKR Selangor, Anwar berkata, beliau masih mempunyai keyakinan ke atas kepimpinan beliau.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.