Setelah 9 hari Berlalu: Mathias Chang Tamatkan Mogok Lapar Sebab Dirayu Dr M


Peguam Matthias Chang, yang dipenjarakan atas kesalahan menghina mahkamah, hari ini bersetuju untuk menamatkan mogok lapar yang dilancarkannya berikutan rayuan daripada bekas majikannya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut jurucakap dari pejabat Dr Mahathir, bekas perdana menteri dalam rayuannya kepada Chang, memberitahu bekas pekerjanya itu bahawa beliau perlu menamatkan mogok lapar itu kerana mereka mempunyai banyak lagi perjuangan yang perlu dilaksanakan.

Katanya mereka memerlukan Chang untuk meneruskan perjuangan bagi mendapatkan keadilan untuk rakyat Palestin dan Iraq.

Dr Mahathir, yang kini berada di luar negara juga memberitahu bekas setiausaha politiknya itu bahawa beliau akan berusaha untuk memastikan undang-undang yang tidak adil dimansuhkan atau dipinda dan beliau memerlukan Chang untuk memberikan nasihat kepadanya mengenai perkara itu.

Chang, yang melancarkan mogok lapar dari 1 April, bersetuju untuk menamatkan bantahan selama sembilan hari itu selepas rayuan Dr Mahathir disampaikan kepadanya.

Beliau enggan mengambil makanan sejak melancarkan mogok lapar itu dari 1 April.

Kesihatannya semakin merosot sehingga memaksa pihak berkuasa Penjara Kajang memasukkannya ke Hospital Serdang pada Isnin untuk rawatan.

Malahan pada ketika itu Chang masih enggan mengambil makanan.

Chang dibenarkan keluar hospital pada Rabu dan kembali ke Penjara Kajang tetapi tetap meneruskan mogok lapar.

Sementara itu, rakan-rakan beliau yang bimbang dengan kesihatannya telah mengumpulkan wang untuk membayar denda RM20,000 pada Isnin, yang diterima oleh mahkamah, tetapi permohonan bagi perintah pembebasan ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari atas alsan permohonan itu tidak boleh dilakukan oleh pihak ketiga,

Hakim Noor Azian sebelum itu mensabitkan Chang bagi kesalahan menghina mahkamah dan mengenakan denda RM20,000 atau penjara sebulan jika gagal melunaskan denda itu. Beliau enggan membayar denda itu dan dipenjarakan.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.