Permohonan Anwar Ditolak Lagi.. Lagi2 Tolak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan pernyataan pembelaan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin (bawah, kanan) dalam kes saman fitnah RM10 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Prasad Sandosham Abraham ketika menolak permohonan itu, memerintahkan supaya Hamzah selaku defendan membayar kos RM2,500 kerana kelewatannya memfailkan butiran lanjut dalam pernyataan pembelaan yang di luar tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah.

Pada 22 Ogos 2008, Anwar memfailkan saman RM10 juta kerana mendakwa Hamzah mengucapkan kata-kata fitnah dan menyebabkan penerbitan artikel bertajuk 'Anwar Harrassed My Wife' dalam akhbar Cina, Kwong Wah Jit Poh.

Plaintif menyatakan, perkataan berkenaan telah diucapkan oleh Hamzah selaku defendan pada 19 Ogos 2008 dalam sebuah ceramah di kawasan parlimen Permatang Pauh.

Anwar mendakwa perkataan itu disiarkan dalam artikel berkenaan, bermakna dan difahami bahawa beliau secara langsung dan atau tidak langsung dan atau oleh innuendo, diberikan sebagai gambaran dan persepsi bahawa beliau terbabit dengan aktiviti hubungan seksual terlarang dan atau dalam aktiviti yang sama, ialah seorang yang bermoral rendah, seorang lelaki yang tidak ada nilai-nilai Islam dan berperangai buruk.

Beliau berkata, bahawa artikel itu sangat cuai, tidak berhati-hati, tidak bertanggungjawab, dengan sengaja, berniat jahat dan bertujuan merendahkan kehormatannya di mata umum dan mendedahkannya kepada dendam, penghinaan, benci yang amat sangat, hina dan cemuhan.

Anwar berkata, artikel itu menyebabkan fitnah yang sangat serius terhadap beliau dan mengakibatkan beliau malu yang amat sangat dan sengsara.

Beliau memohon RM10 juta sebagai ganti rugi, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Hamzah, dalam pembelaan beliau pada 13 November 2008, berkata perkataan dalam artikel itu adalah wajar.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.