Dun Kuah Juarai Perlawanan Zon 1 Liga Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Kedah




Disediakan oleh : Faiz Hj. Othman




JITRA, 24 April 2010 – Kuah menempah tiket ke Suku Akhir Kejohanan Liga Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Kedah setelah berhempas-pulas menentang Kota Siputeh dengan kemenangan menerusi sepakan penalti 5 berbalas 4.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mini Jitra itu turut disaksikan oleh penyokong kedua-dua pasukan di samping tetamu jemputan, YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Pertembungan antara Kuah dan Kota Siputeh mencetuskan sedikit ketegangan apabila pasukan Kuah diputuskan hanya layak memasuki perlawanan akhir selepas Dun Jitra digugurkan dari perlawanan akibat terdapat lebih daripada 3 orang pemain mereka yang pernah beraksi di peringkat negeri.

Skuad bimbingan Hazrul Hamad bagaimanapun menggunakan peluang itu sebaiknya dengan mempamerkan aksi cemerlang. Kuah yang merupakan pasukan pertama yang menempah tiket ke Suku Akhir pada Jun 2010 akan datang telah membawa pulang piala iringan dan wang tunai berjumlah RM 1,500.

Manakala Naib Juara Zon 1 Kejohanan Liga Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Kedah, iaitu Kota Siputeh telah membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM 1,000.00 Sebanyak 3 kad kuning telah dilayangkan kepada pemain Kota Siputeh dan 1 kad kuning telah dilayangkan kepada pihak lawan. Sementara itu, 1 kad merah turut dilayangkan oleh pengadil perlawanan kepada pasukan Kota Siputeh membabitkan pemain berjersi 10.

Perlawanan Zon 1 telah menyaksikan pertembungan antara 6 pasukan yang terdiri daripada Dun Kuah, Kota Siputeh, Ayer Hangat, Air Hitam, Bukit Kayu Hitam dan Jitra. Liga Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Kedah akan diteruskan dengan perlawanan Zon 2 pada 01 Mei 2010 di Stadium Mini Kuala Nerang yang bakal memperlihatkan aksi pasukan Bukit Lada, Pedu, Derga, Kuala Nerang, Bukit Pinang dan Alor Mengkudu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.