Kemuka Bukti, Letak Jawatan Jika Gagal Cabaran Kepada DS Nazri Aziz



KUALA LUMPUR 12 Apr - Peguam keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membuktikan kenyataannya yang mendakwa pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand berbohong berhubung kerajaan Malaysia menggunakan "tekanan politik" untuk menghalangnya daripada memberi keterangan.

"Bagi saya, kenyataan yang dibuat oleh Nazri adalah menjurus kepada kebolehpercayaan Dr Pornthip sebagai saksi dan lebih daripada itu, Nazri adalah Menteri Undang-undang dan kenyataan beliau itu tidak berasas.

"Macam mana Nazri dapat tahu, satu aduan yang dibuat dan disiarkan pukul 11 pagi dan menjelang pukul 3 petang beliau sudah keluar buat kenyataan. Ini tipu helah, ini menunjukkan Nazri tidak serius,

"Sepatutnya kerajaan apabila tohmahan yang serius dibuat sebegini haruslah diambil berat, satu siasatan harus diadakan dan perkara ini disiasat dulu," kata Ahli Parlimen Puchong itu.

Gobind juga membangkitkan tuduhan Nazri yang mengatakan Dr Pornthip telah berbohong di dalam inkues sebagai saksi.

"Kalau Menteri Undang-undang mempunyai bukti Dr Pornthip telah berbohong, saya memohon beliau tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat dan bukti," cabar Gobind.
Apabila ditanya wartawan sama ada Nazri menganggu perjalanan prosiding inkues, Gobind berkata kenyataan Nazri sememangnya menganggu perjalanan inkues serta boleh dikatakan menghina prosiding mahkamah.

"Sepatutnya pihak yang buat keputusan sama ada saksi itu cakap benar atau tidak adalah terpulang kepada koroner atau pun hakim dan tidak boleh seorang Menteri pula berkata seorang saksi itu berbohong, ini menunjukkan Nazri tidak mengambil kes ini sebagai satu yang serius," kata beliau.Gobind berkata pihak pembelaan akan mengkaji bentuk tindakan susulan yang akan dimabil berhubung kenyataan Nazri tersebut.

"Ini bukan isu mengenai tindakan yang hendak diambil terhadap Nazri tetapi kenyataan beliau sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio undang-undang sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan seperti itu. Beliau harus bertanggungjawab terhadap kenyataannya dan jika tidak beliau wajar letak jawatan.

"Kita tidak boleh ada Menteri yang membuat kenyataan yang serius begini dan kemudian tidak ada bukti untuk menyokong kenyataan beliau, sekarang terpulanglah pada beliau untuk membuktikan kenyataan beliau itu," kata Gobind kepada media di lobi Parlimen pagi tadi.


Oleh Fazli Othman. SK

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.