Gambaran Fitnah Yang Berlaku Di Majlis Daerah Kubang Pasu

Aku Tanya - Basir Jawab.

Akhbar telah menyiarkan berita mengenai sedikit kocakkan dalam Majlis Daerah Kubang Pasu sudah banyak hari. Masalahnya aku tak beli surat khabar, itu yang leceh, kecuali Harakah. Kalau bacapun surat khabar harian hanya sekali sekala bila jumpa di kedai gunting rambut atau kedai makan, masalahnya tak jumpa pulak berita mengenai kes yang dibangkitkan itu sehingga aku dihujani oleh ahli-ahli PAS bila berjumpa dengan mereka di berbagai majlis.

Aku pun tanya mereka, "Awatnya? Saya tak tahu apa pun.... jadi lagu mana cerita". Aku tanya mereka semula..... mereka pun cerita brang-brang kat aku. Ada positif ada negatif.

Aku tak puas hati, aku terus hubungi sendiri Ketua Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu iaitu, Sdr Basir Ismail untuk mendapat jawapan mengenai apa yang sedang berlaku.

Berikut adalah soalan aku dan jawapan beliau yang aku perolehi, patah demi patah jawapan beliau rasanya tak jatuh sepatahpun yang dicatat, InsyaAllah. Kalau ada masa aku akan tanya pula kawan-kawan Ketua Ahli Majlis Daerah lain pulak. Siap Anuar Yatim, Ketua Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar!!!. Bukan apa untuk melihat visi dan misi mereka ke arah Melaksanakan Islam Memimpin Perubahan.



Soalan 1: Boleh gambarkan perasaan saudara setelah di pilih sebagai Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu?


Pertamanya ingin ditekankan di sini bahawa, bukan menjadi keutamaan saya untuk menjadi Ahlimajlis ataupun mendapatkan apa-apa jawatan lain di dalam kerajaan apabila PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat pada PRU 12 lalu.

Saya telah menyertai PAS sejak tahun 1985 kerana benar-benar yakin dan percaya dengan dasar, matlamat dan cita-cita perjuangan yang di bawa oleh parti iaitu hendak menegakkan Islam di dalam sistem pemerintahan di negara ini. Di samping menyedari bahawa hakikat kelahiran saya di dunia ini adalah sebagai hamba Allah SWT untuk mengabdikan diri kepadaNYA semata-mata.

Tidak pernah terlintas dibenak fikiran saya untuk menjadi seorang Ahlimajlis ataupun merebut sebarang jawatan dalam kerajaan apabila PAS ataupun Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di negeri Kedah.

Namun, setelah parti dan kerajaan negeri memberi kepercayaan kepada saya untuk menduduki salah satu kerusi Ahlimajlis dari Pakatan Rakyat (lantikan politik) bagi penggal 2010/2011, maka saya terima ia sebagai suatu amanah besar yang ‘wajib dipikul’ dengan sebaik-baiknya seiring dengan dasar, matlamat dan cita-cita perjuangan yang saya dokongi selama ini.



Soalan 2 : Apa yang cuba saudara maksudkan. Adakah kenyataan saudara semata-mata retorik ?


Maksud saya di sini ialah perlantikan saya sebagai Ahlimajlis adalah melalui proses bermula dari cadangan cawangan-cawangan PAS dalam kawasan Kubang Pasu. Sebanyak 12 orang calon Ahlimajlis dari PAS kawasan Kubang Pasu yang terdiri dari muka baru dan lama (Ahlimajlis Penggal 2008/2009) telah dihantar untuk dipilih oleh PAS Negeri Kedah.

Jadi….rasanya tak elok nak tolak pencalonan saya yang di buat oleh cawangan… kerana sebahagian mereka (ahli-ahli PAS) di peringkat cawangan mahukan saya menduduki kerusi tersebut. Alasan mereka berbuat demikian saya tidak tahu. Bagi saya yang pentingnya ialah proses perlantikan Ahlimajlis dilakukan dengan cara yang baik. Tidak berlaku perebutan ataupun lobi-melobi di antara calon-calon terlibat. Saya juga difahamkan proses pemilihan di buat di dalam mesyuarat yang dihadiri oleh YB Datuk Haji Pharolrazi Bin Zawawi, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Kubang Pasu. Jadi…tidak timbul soal retorik dan sebagainya dalam soal perlantikan ini.


Soalan 3: Apakah visi dan misi saudara sebagai Ahlimajlis?


Apabila menduduki kerusi Ahlimajlis, saya dan rakan-rakan Ahlimajlis dari PAS, PKR dan DAP telah beberapa kali mengadakan perbincangan yang kami namakan sebagai pre caouncil. Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan visi dan misi yang ingin dicapai dalam tempoh dua tahun ini. Pendapat kami adalah sama iaitu memberi tumpuan dan keutamaan menunaikan janji-janji di dalam manifesto PRU 12 lalu mengikut bidangkuasa dan kemampuan yang terhad. Di samping, kami bersetuju untuk membawa agenda ‘Memasyarakatkan Kerajaan Pakatan Rakyat” di Majlis Daerah Kubang Pasu melalui aktiviti-aktiviti dan polisi-polisi yang dibenarkan di dalam bidangkuasa kami sebagai Ahlimajlis serta pembaharuan di dalam perjalanan pentadbiran Majlis Daerah Kubang Pasu.

Kami juga telah mengenalpasti potensi yang telah sedia ada dan baru dalam daerah Kubang Pasu yang boleh dimanfaatkan di dalam usaha merancang pembangunan fizikal dan kemanusiaan seiring dengan dasar kerajaan negeri iaitu ‘Kedah Sejahtera”.

Bagi menjayakan hal tersebut, beberapa langkah awal telah di ambil antaranya menubuhkan sebuah pasukan pemikir yang melibatkan kepimpinan dan aktivis parti, ahli akademik serta golongan profesional dari pelbagai latarbelakang iktisad yang begitu ramai dalam daerah Kubang Pasu. Mereka ini bersedia menyumbang khidmat bakti tanpa perlu dibayar upah. Di samping kami juga mendapatkan pandangan dari Ahlimajlis (ex-officio) mengikut kepakaran mereka masing-masing. Ia adalah langkah awal yang saya ambil bertujuan untuk membantu kami (Ahlimajlis) di dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan.


Soalan 4: Apakah yang dimaksudkan dengan agenda ‘Memasyarakatkan Kerajaan Pakatan Rakyat” ?


Agenda memasyarakatkan kerajaan Pakatan Rakyat merupakan suatu usaha murni bertujuan untuk mendekatkan diri Ahlimajlis dan Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Kubang Pasu dengan rakyat. Perlu disedari apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan wujudnya persepsi segelintir rakyat yang mengatakan mereka akan di anak tirikan ataupun tidak akan diberi layanan yang sewajarnya kerana berlainan fahaman politik. Ini terjadi…. kesan dari tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sering meracuni fikiran rakyat tentang kerajaan Pakatan Rakyat.

Jadi.. agenda memasyarakatkan kerajaan Pakatan Rakyat ini akan kami terjemahkan melalui aktiviti-aktiviti, polisi-polisi dan perancangan pembangunan fizikal yang berada di dalam bidangkuasa Ahlimajlis.


Soalan 5 : Apa contohnya agenda tersebut telah saudara jalankan ?

Contohnya ialah program Makan Malam dan Suaikenal Ahli-Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu dengan Persatuan dan Ahli-Ahli Peniaga Pasar Malam dan Pasar Pagi dalam daerah Kubang Pasu yang turut dihadiri oleh Pegawai Khas Kepada Menteri Besar Kedah, Ustaz Haji Hassan Abdul Razak.

Program tersebut adalah yang pertama kali berjaya diadakan melibatkan Ahlimajlis dengan Ahli Persatuan Peniaga Pasar Pagi dan Pasar Malam dalam daerah ini. Melalui program ini kami dapat mendengar keluhan dan permasalahan yang dihadapi oleh peniaga serta memberi penjelasan kepada mereka tentang isu yang dibangkitkan. Banyak masalah telah dapat diselesaikan…. tanpa menunggu masa dibincangkan di dalam mesyuarat.

Soalan 5: Apakah harapan saudara kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah Kubang Pasu.


Bila mahu memperkatakan tentang harapan saya kepada Pihak Berkuasa Tempatan, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kenalah terlebih dahulu memahami apakah itu Pihak Berkuasa Tempatan ? Maksud yang mudah kita fahami ialah Pihak Berkuasa Tempatan merupakan gabungan dua entiti penting yang saling berkaitan. Dalam konteks Majlis Daerah Kubang Pasu ialah gabungan antara Yang Dipertua dan Ahlimajlis yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri atau Menteri Besar. Tanpa gabungan kedua entiti ini maka tidak wujudlah Pihak Berkuasa Tempatan ataupun dikenali sebagai Kerajaan Tempatan yang sah di sisi undang-undang.

Saya percaya…. harapan semua rakan-rakan lain apabila menduduki kerusi Ahlimajlis adalah sama iaitu mahu melihat wujudnya kerjasama dan persefahaman yang baik di antara mereka (Ahlimajlis) dengan pihak pentadbir ataupun penjawat awam. Hubungan dan persefahaman yang baik akan melahirkan situasi saling memahami dan menghormati di antara satu sama lain di dalam menjalankan bidang tugas masing-masing.

Sebaliknya…. Jika berlaku perkara seperti isu yang dilaporkan oleh tabloid Sinar Harian dalam beberapa hari ini… di mana Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu bertindak menafikan hak-hak serta tidak menghormati pandangan Ahlimajlis Pakatan Rakyat, di samping menyalahgunakan kuasa eksekutif serta melanggar undang-undang Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menjadi rujukan perjalanan Pihak Berkuasa Tempatan maka berlakulah tindakan-tindakan yang mengejutkan banyak pihak termasuklah Pihak Berkuasa Negeri.


Soalan 6 : Maksud saudara ?

Apa yang saya cuba sampaikan ialah merujuk kepada kasus yang berlaku di antara Ahlimajlis Pakatan Rakyat dengan Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu, Datuk Che Barni Binti Mohd Noor di dalam pertikaian berkaitan penyalahgunaan kuasa eksekutif dan pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Saya menyedari bahawa ramai yang terkejut apa yang telah berlaku. Di mana Ahlimajlis Pakatan Rakyat melakukan tindakan drastik dengan membuat dua laporan Polis ke atas seorang kakitangan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu, di samping akan membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di masa sesuai akan datang.


Soalan 7 : Mengapa perlu buat laporan Polis. Tidak adakah jalan lain yang boleh di ambil supaya ia tidak menjadi isu politik ?


Isu ini tiada kaitan dengan politik. Ia adalah hal berpunca dari tuduhan berniat jahat dan fitnah melampau yang telah dilakukan oleh seorang kakitangan Majlis Daerah Kubang Pasu dan diikuti pula kenyataan media oleh Yang Dipertua yang dianggap cuba untuk menjatuhkan maruah Ahlimajlis Pakatan Rakyat. Jika perkara ini dibiarkan…rakyat akan percaya tuduhan-tuduhan yang mereka lakukan. Lebih dikhuatirkan ialah tuduhan mereka akan mempengaruhi persepsi Pihak Berkuasa Negeri terhadap Ahlimajlis.

Jadi…tindakan membuat repot Polis adalah sebagai langkah kami untuk mempertahan diri, di samping mengharapkan supaya pihak polis akan menyiasat perkara tersebut, sekaligus kami mahu tahu apakah motif pihak yang berkenaan membuat tuduhan dan fitnah ke atas Ahlimajlis Pakatan Rakyat. Repot polis ini adalah tindakan peringkat akhir yang kami lakukan setelah usaha secara dalaman tidak mendapat perhatian oleh pihak-pihak berkenaan.


Soalan 8: Di samping masalah yang saudara dedahkan tersebut, apakah masalah-masalah lain yang telah saudara kenal pasti dalam Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah Kubang Pasu seperti isu sampah, longkang, gejala sosial, dadah, mat rempit atau lain-lain lagi ?

Masalah lain seperti isu sampah, longkang dan penjagaan rumput sememangnya telah wujud di zaman Umno/BN lagi. Isu ini sememangnya menjadi perhatian kami kerana ia melibatkan kepentingan awam. Kami amat memahami bahawa rakyat berhak untuk menikmati lingkungan kehidupan yang selesa, bersih dan dan bebas dari ancaman penyakit.

Sukacita diberitahu bahawa sejak Majlis Daerah Kubang Pasu menandatangani perjanjian dengan syarikat E-Idaman bagi menyelenggara hal berkaitan sampah, longkang dan rumput, masalah tersebut telah dapat diatasi. Saya mendapati rungutan rakyat berhubung isu ini semakin berkurangan, malah ada yang memberitahu bahawa mereka rasa puashati di atas perkhidmatan yang diberikan.

Tentang isu gejala sosial, dadah dan mat rempit, saya lihat ia masih lagi belum boleh diatasi sepenuhnya. Maksud saya ialah kes-kes berkaitan gejala social dan dadah masih wujud dalam masyarakat, khususnya melibatkan golongan remaja. Hal ini kena ambil masa untuk mengatasi sepenuhnya kerana ia melibatkan proses tertentu dan memerlukan sokongan semua pihak. Walau bagaimanapun di dalam konteks Majlis Daerah Kubang Pasu kami sentiasa memantau hal ini supaya ia tidak menjadi barah dalam masyarakat. InsyaAllah saya akan mencadangkan untuk ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Menangani Masalah Sosial dalam masa terdekat.



Soalan 9: Apakah cadangan-cadangan pembaharuan yang akan diperkenalkan oleh saudara dalam memajukan Majlis Daerah Kubang Pasu?


Pastinya dalam tempoh kurang 100 hari saya dan rakan-rakan dilantik sebagai Ahlimajlis memerlukan lebih banyak masa untuk mengetahui perkara yang perlu kami lakukan. Setakat hari ini belum ada sebarang pembaharuan yang kami lakukan. Kalaupun nak dikatakan ia sebagai pembaharuan… ialah berkaitan tindakan kami yang merujuk kepada perlaksanaan kehendak yang terkandung di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 di dalam Bahagian IV, Penjalanan Urusan, Seksyen 23. Di mana, saya mencadangkan supaya ‘orang ramai’ dibenarkan hadir mengikuti perjalanan Mesyuarat Penuh Kali Ke-2 yang hendak diadakan. Namun cadangan ini mendapat bantahan dari pihak pentadbiran kerana ia dianggap mencampuri urusan pentadbiran dan membelakangkan ‘amalan lazim’.

Saya hairan bila cadangan mendapat bantahan. Bagi saya apalah yang hendak dibimbangi jika orang ramai hadir mengikuti perjalanan Mesyuarat Penuh yang diadakan kerana ia bukanlah menjadi suatu rahsia. Sebaliknya jika ia dilaksanakan, rakyat akan melihat ia merupakan ketelusan dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan. Pastinya rakyat akan lebih memahami apa yang kita lakukan, sekaligus mengikis syak wasangka terhadap perjalanan kerajaan.

Hal lain mungkin diberi perhatian oleh pihak tertentu ke atas kami ialah tindakan Ahlimajlis Pakatan Rakyat memohon kepada Yang Dipertua mendapatkan naskah undang-undang kecil dan peraturan-peraturan yang menjadi ‘punca kuasa’ dalam perjalanan Majlis Daerah Kubang Pasu. Tetapi permohonan kami tidak dipedulikan oleh Yang Dipertua tanpa menyatakan alasan. Undang-undang kecil ini penting kerana ia menjadi rujukan serta panduan dalam perjalanan majlis dalam hal-hal yang berkaitan dengannya. Hasrat kami berbuat demikian adalah untuk mengkaji undang-undang kecil sedang digunapakai, sekiranya ia perlukan kepada pindaan maka kami mahu melakukannya. Adakah ini juga dianggap sebagai pembaharuan yang bertentangan dengan amalan lazim ?

Isu lain yang hangat diperhebihkan sekarang ialah berkaitan tafsiran undang-undang di dalam Seksyen 28, Akta Kerajaan Tempatan 1976. Ia adalah tentang perlantikan Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Tetap. Dalam hal ini saya dapati Yang Dipertua secara jelas telah melanggari kehendak undang-undang tersebut. Jika teguran yang saya dan Ahlimajlis Pakatan Rakyat buat ke atas Yang Dipertua dianggap sebagai mencampuri urusan pentadbiran serta membelakangkan amalan seperti yang berjalan di zaman kerajaan Umno/BN dahulu, bolehlah saya simpulkan bahawa ada tangan ghaib mahu Ahlimajlis sebagai ‘rubber stamp’ dan ‘lembu yang dicucuk hidung’ kepada Yang Dipertua semata-mata.

Saya berpendapat bahawa jika sesuatu amalan lazim yang dipraktikkan itu membelakang undang-undang, maka ia perlu diperbetulkan. Hanya amalan lazim yang tidak menyalahi undang-undang dan syarak sahaja yang boleh dituruti. Hal ini memberi gambaran bahawa perjalanan urus tadbir di Pihak Berkuasa Tempatan selama ini adalah tidak sepenuhnya mengikut semangat dan kehendak yang ditetapkan di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menjadi ‘sumber rujukan’ yang sah di sisi undang-undang Malaysia yang boleh menjurus kepada amalan korupsi, penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran undang-undang.



Soalan 10: Pada pandangan saudara mengapakah ada pihak yang sanggup menghantar surat menuduh ada antara 16 Ahli Majlis adalah sebagai bankrupt dan penjenayah dan mengapakah saudara telah membuat repot polis?

Saya anggap perbuatan ini berniat jahat. Ia adalah suatu agenda pihak tertentu yang bermatlamatkan supaya Pihak Berkuasa Negeri mengambil tindakan ke atas Ahlimajlis Pakatan Rakyat. Jika tuduhan ini betul, saya akan akur, sebaliknya jika ia hanya tuduhan melulu maka ia adalah fitnah melampau yang dilakukan oleh pihak berkenaan yang juga merupakan kakitangan Majlis Daerah Kubang Pasu.

Di samping itu, saya juga menanggapi perbuatannya itu sebagai tindakbalas ke atas Ahlimajlis Pakatan Rakyat yang lantang mengkritik pentadiran di bawah Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu seperti yang telah saya nyatakan di atas.


Soalan 11: Apakah perkara-perkara yang saudara rasa, tindakan saudara telah mengganggu pentadbiran majlis dan mengganggu kelancaran pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat?


Saya menyedari bahawa ada pihak-pihak yang mempertikaikan tindakan yang dilakukan. Ini kerana mereka yang berkenaan tidak faham tentang duduk sebenar perkara yang berlaku ataupun faktanya telah diputarbelit oleh pihak terbabit. Sebaliknya, kami yang menduduki kerusi Ahlimajlis telah melihat dengan jelas telah berlaku perkara-perkara yang kami sifatkan sebagai penyalahgunaan kuasa eksekutif dan pelanggaran undang-undang di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 oleh pihak Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu.

Oleh itu, tidak timbul isu yang mengatakan bahawa tindakan saya dan Ahlimajlis Pakatan Rakyat akan mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan Pakatan rakyat samada di peringkat daerah maupun negeri. Semua ini dilakukan di dalam ruang lingkup undang-undang yang digunapakai. Saya berharap pihak berkenaan dapat melihat perkara ini sebagai suatu usaha yang akan memberi kesan baik dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Cuba bayangkan…. jika semua peringkat eksekutif Pihak Berkuasa Tempatan menjalankan tugas masing-masing mengikut undang-undang sudah pasti tidak akan berlaku perkara-perkara seperti yang diterangkan di atas.

Jika hal yang kami lakukan ini dianggap mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat negeri maka ia bolehlah diumpamakan sebagai seorang Jeneral yang menghantar tentera ke medan perang tetapi telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan tenteranya membunuh musuh. Bagi saya ia adalah suatu arahan pelik dan mengelirukan. Ada yang tak kena dengan Jeneral berkenaan, walaupun ia ada alasan yang dirahsiakan kepada tenteranya. Tetapi jangan dilupakan bahawa kepatuhan tenteranya itu akan mengundang malapetaka seperti maut ditangan musuh pada bila-bila masa saja.


Soalan 12: Sehingga sekarang adakah saudara berfikir akan terus dapat bekerjasama dengan pihak pentadbiran MDKP demi memajukan Daerah Kubang Pasu?.


Tidak timbul soal saya atau Ahlimajlis Pakatan Rakyat lain tidak mendapat kerjasama dengan pihak pentadbiran dan kakitangan Majlis Daerah Kubang Pasu. Apa jua masalah yang berlaku dalam organisasi Majlis Daerah Kubang Pasu akan kami selesaikan dengan cara yang baik.

Saya juga optimis bahawa kakitangan Majlis Daerah Kubang Pasu sedang melihat perkara yang berlaku. Ramai juga yang menyokong dan bersetuju dengan pembaharuan serta cara kami mengendalikan Majlis Daerah Kubang Pasu. Cuma adalah segelintir sahaja yang tidak mahu kepada cara kami kerana sebab-sebab peribadi yang sukar dijelaskan di sini. Apapun semua masih berada di dalam kawalan dan pemantauan kami.


Soalan 13: Adakah tindakan yang dilakukan oleh saudara telah terkeluar dari peraturan, undang-undang atau kelaziman yang telah sedia ada selama ini?


Jika anda maksudkan ia berkaitan isu yang saya terangkan di atas, saya ingin menegaskan bahawa semua perkara dilakukan mengikut proses yang betul serta mengikut undang-undang. Sekiranya ada pihak yang mempertikaikan bahawa cara kami membelakangi amalan lazim yang dipraktik di dalam pengurusan dan pentadbiran MDKP sebelumnya, maka ia adalah semata-mata kekeliruan dan tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku.

Sebelum sesuatu tindakan di ambil oleh saya dan rakan-rakan (Ahlimajlis Pakatan Rakyat), kami mengadakan mesyuarat terlebih dahulu. Pandangan setiap orang akan didengari dan diambilkira, di samping saya dan beberapa rakan lain akan membuat rujukan kepada pihak lain yang berautoriti. Ia dilakukan supaya tindakan yang di ambil adalah berdasarkan fakta-fakta dan tidak menyalahi undang-undang di bawah peruntukan akta yang terpakai.

Apalah gunanya amalan lazim yang dipraktikkan, jika ia bertentangan dengan undang-undang serta tidak selari dengan aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat.


Soalan 14 : Ada pihak tertentu melihat tindakan saudara adalah gopoh dan keterlaluan. Apa komen saudara ?


Hairanlah saya… jika ada pihak anggap tindakan kami ini gopoh dan keterlaluan. Gopoh maksudnya tidak sabar dan keterlaluan pula ialah melampaui batasan. Perlu difahami bahawa jika kami berusaha untuk memperbetulkan tindakan Yang Dipertua yang menyalahgunakan kuasa eksekutif serta melanggar undang-undang adalah gopoh dan keterlaluan…. tolonglah cadangkan kepada kami, bilakah masanya perkara ini boleh diperbetulkan. Ia akan mudahkan kami nak buat tindakan.


Soalan 15: Pada pandangan saudara, apakah peranan yang sebenarnya perlu dimainkan oleh seseorang ahli majlis dan apakah peranan penjawat awam?


Secara ringkasnya peranan kami sebagai Ahlimajlis Pakatan Rakyat ialah membuat dasar, merancang dan meluluskan sesuatu perkara yang didapati tidak bertentangan dengan undang-undang serta selari dengan hasrat kerajaan negeri iaitu “Kedah Sejahtera”


Soalan 16 : Akhirnya, apa pandangan saudara terhadap Ahlimajlis Pakatan Rakyat yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri ?


Sejujurnya semua Ahlimajlis lantikan politik dari Pakatan Rakyat adalah berkualiti dan merupakan aset besar kepada kerajaan negeri dan parti. Ini kerana mereka adalah kerajaan ketiga yang berada di pihak Pihak Berkuasa Tempatan yang diiktiraf oleh undang-undang. Merekalah yang paling hampir dengan rakyat.

Persoalannya ialah sejauhmanakan mereka (Ahlimajlis Pakatan Rakyat) ini telah diberi sokongan dan dorongan yang sewajarnya oleh Pihak Berkuasa Negeri dan parti untuk menjalankan tugas mereka masing-masing. Jika mereka tidak dimanfaatkan melalui usaha-usaha yang konstruktif, ia adalah suatu kerugian besar kepada kerajaan negeri dan parti. Pengalaman saya dengan beberapa orang Ahlimajlis Pakatan Rakyat di Pihak Berkuasa Tempatan lain mendapati mereka sungguh bersemangat, mempunyai komitmen, ada visi dan misi yang hebat. Malangnya mereka kurang mendapat sokongan terutamanya dari segi moral dari pihak yang sepatutnya berbuat demikian.Hal ini perlu diberi perhatian oleh Pihak Berkuasa Negeri dan parti.

Akhirnya, saya berkeyakinan bahawa Ahlimajlis Pakatan Rakyat adalah dikalangan individu yang berkualiti, istiqamah serta bersedia menjadi agen perubahan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan seperti mana yang diharapkan oleh semua pihak.

Sekian, terima kasih.

Sdr Aris Awang

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.