Tengku Muhammad Faris dilucut Pemangku Raja Kelantan



KOTA BARU, 25 Mac — Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra dilucutkan daripada jawatan baginda sebagai Pemangku Raja negeri itu berkuat kuasa hari ini.

Keputusan mengejutkan itu, yang dilihat merumitkan lagi krisis Istana Kelantan, diumumkan oleh Setiausaha Sulit baru Sultan Kelantan Datuk Wan Hashim Wan Daud pada sidang media di sini sebentar tadi.

Wan Hashim, yang pelantikannya dipertikaikan minggu lalu berkata keputusan itu diambil selepas baginda mengingkari arahan Sultan Kelantan agar tidak meneruskan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang dijadual 30 Mac ini.

“Berikutan daripada keingkaran Yang Maha Mulia Pemangku Raja mematuhi titah perintah Sultan Kelantan agar tidak meneruskan sebarang bentuk perayaan termasuk penganugerahan darjah-darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan rasmi ke-60 baginda Sultan Kelantan serta di atas kegagalan Yang Maha Mulia Pemangku Raja memelihara, melindungi dan mempertahankan kehormatan diri dan Perlembagaan Negeri Kelantan, maka Duli Maha Mulia Sultan Kelantan dengan ini menamatkan pelantikan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja,” kata beliau pada sidang media di Istana Mahkota, Kubang Kerian.


Malah keputusan ini diumumkan sehari selepas Tengku Muhammad Faris Petra mengumumkan bahawa Sultan Kelantan masih gering dan tidak boleh menjalankan tugas berhubung hal ehwal negeri mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan.

Semalam Tengku Muhammad Faris Petra bertitah bahawa mengikut klausa (1)(b) Artikel 22A undang-undang itu, baginda yang telah dipilih menjadi Pemangku Raja pada 24 Mei tahun lepas, kini menjalankan tugas-tugas pemerintah dan Yang Dipertuan Negeri sehingga Sultan Ismail Petra sembuh.

Dalam satu titah yang disampaikan oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad pada satu sidang akhbar di Istana Balai Besar semalam, baginda menegaskan bahawa sebarang kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak tanpa terlebih dahulu mendapat laporan perubatan daripada panel doktor pakar yang telah dilantik adalah tidak tepat, tidak sah dan tidak terpakai.TMI

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.