BANTULAH: Pesara MADA Jadikan Lori Tempat Tinggal Selepas Rumah Terbakar

Sekeluarga jadikan lori tempat tinggal

KAMPUNG BANGGOL TAMBAK - Bagi keluarga Ab Rahman Hassan, 59, yang kehilangan rumah dalam kebakaran beberapa hari lalu, terpaksa digunakan lori sebagai tempat tinggal mereka.

Menurutnya, dia sekeluarga terpaksa menetap di dalam sebuah lori kerana ketiadaan wang untuk membina rumah baru menggantikan rumah lama yang musnah itu.

Katanya, kebakaran itu mengakibatkan dia kerugian RM250,000 apabila dua motosikal dan keseluruhan rumah dua tingkatnya musnah dalam kebakaran itu.

Abd Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika dia baru sahaja keluar ke rumah bapa saudara di Lubuk Merbau pada jam 7.15 petang dan dia terkejut setelah menerima panggilan daripada seorang anak memaklumkan kejadian itu.

“Saya membawa isteri, seorang anak dan bapa segera bergegas pulang setelah dimaklumkan akan kejadian itu.

“Saya mendapati keseluruhan rumah sudah terbakar menyebabkan saya tidak sempat menyelamat sebarang benda di dalam rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Ab Rahman berkata, kebakaran itu katakan bukan berpunca disebabkan pendawaian atau api dapur tetapi faktor lain.

“Setelah siasatan dijalankan pihak bomba, mereka memaklumkan bahawa punca kebakaran bukan disebabkan pendawaian elektrik atau api memasak,” katanya.

Katanya, dia memohon mana-mana pihak yang bersimpati kepadanya dapat memberi sumbangan membina semula rumah kerana tidak sanggup untuk terus menetap di dalam lori itu.

“Saya merupakan pesara Mada memperoleh wang pancen sebanyak RM830 sebulan dan kini menoreh getah dan tidak mampu membina semula rumah memandangkan dua anak masih lagi bersekolah,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sinar Harian dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Suraya Yaacob; ADUN Tokai, Datuk Muhamed Taulan Mat Rasul; Puteri UMNO Pendang, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut turun padang melawat mangsa bencana.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Pendang merangkap Ketua Perkasa Negeri Kedah, Shahrol Niza Omar dan Kelas Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Tobiar memberi sumbangan wang tunai.

Selain itu, Pengurus Felcra Kubur Panjang, Othman Awang yang turut melawat mangsa bencana berkata, Felcra akan memberi bantuan segera membaik pulih rumah kepada mangsa.

Menurutnya, Felcra akan membantu membaik pulih dengan nilai maksimum RM5,000 yang akan diuruskan secepat mungkin.

“Saya akan membawa kumpulan siasatan terlebih dahulu ke lokasi bencana ini agar pengurusan bantuan dapat disalurkan dengan segera.

“Felcra mempunyai peruntukan untuk membaik pulih rumah mangsa yang terlibat dengan bencana dengan had tidak melebihi RM5,000,” katanya.

Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.