LAWYER ZUL Sedia Buat Keputusan lagi 3 Hari


Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin sudah bersedia membuat keputusan susulan sama ada masih kekal dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau tidak setelah lembaga disiplin parti itu memutuskan tindakan terhadapnya, dijangka Selasa.

“Sekiranya keputusan tidak menyebelahi, saya akan mengambil tindakan sewajarnya dan buat masa ini beri peluang kepada parti untuk menyelesaikannya.

“Keputusan (bicara lembag displin) kemungkinan akan diputuskan Selasa depan, namun sekiranya masih dianggotai oleh orang bukan Islam saya akan mengambil keputusan sama ada keluar parti atau sebaliknya pada masa itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR disini, semalam.

Terdahulu, Zulkifli bertindak keluar daripada sidang lembaga disiplin yang membicarakan kesnya berhubung isu kalimah Allah, kerana membantah anggota panel terdiri daripada bukan Islam.

Beliau berkata, tindakan itu berasaskan prinsipnya yang tidak mahu tunduk atau mengiktiraf panel bukan Islam bagi membicarakan isu berhubung agama Islam.

“Walaupun saya telah bersedia untuk menjawab semua pertuduhan dan membela diri saya, tetapi saya tidak boleh tunduk dan mengiktiraf panel bukan Islam untuk membicarakan saya dalam hal agama saya.

“Oleh itu saya membuat walkout,” katanya selepas kira-kira 30 minit panel itu bersidang, di sini, semalam.

Zulkifli dihadapkan kepada lembaga disiplin parti bagi menjawab isu berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap rakan sekutu dari Pas, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkenaan isu kalimah Allah.

Zulkifli berkata, daripada empat anggota panel disiplin yang membicarakan kes beliau, hanya seorang beragama Islam iaitu Syed Kamarulzaman Syed Kaber selaku ketua panel, manakala dua lagi ialah aktivis Kristian iaitu Goh Keat Peng dan Chew Swee Yoke, serta seorang beragama Hindu iaitu T Kumar.

Zulkifli berkata, sewajarnya pihak parti menghormati permintaannya untuk dibicara barisan panel beragama Islam menerusi tiga notis yang dihantar sebelum ini.

“Saya telah menghantar sebanyak tiga surat kepada parti dan mereka tidak menjawab berhubung ahli panel harus dianggotai orang Islam.

“Saya amat terkejut apabila mengetahui ahli panel masih dianggotai orang bukan Islam kerana perkara ini membabitkan akidah dan syariat agama Islam.

“Saya memberikan mereka masa untuk menimbangkan tuntutan saya dan mereka meminta masa hingga hari ini (semalam),” katanya.

Menjawab soalan mengapa beliau tidak bersama-sama dengan 12 Ahli Parlimen PKR mengangkat sumpah setia kepada parti kelmarin, Zulkifli berkata, beliau bukan sahaja tidak dijemput tetapi juga tidak diberitahu mengenainya.

“Saya tidak dimaklumkan dan dijemput berhubung ikrar taat setia oleh 12 Ahli Parlimen PKR itu.

“Ini juga tindakan firaun terbabit untuk menjatuhkan dan memalukan saya agar keluar parti,” katanya.

Beliau turut menyelar parti yang tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap Ahli Parlimen PKR yang lompat parti dengan mengadakan perbincangan untuk mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh mereka termasuk dirinya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.