YB Abd Ghani Sampaikan Cek Pembiayaan Dana Usahawan PKNK 2012.. Akan Lahirkan Lebih Ramai Usahawan



ALOR SETAR – Di bawah Program Pembangunan Usahawan, Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) akan membantu industri kecil dan sederhana (IKS) dan pengusaha-pengusaha kecil di negeri ini.
 
Ia secara tidak langsung mampu menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan yang berkembang dan dinaik taraf daripada sedia ada kepada satu tahap yang lebih baik dan berdaya maju.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad berkata, di bawah program ini juga, usahawan-usahawan yang menghadapi kesukaran dalam mendapatkan pembiayaan perniagaan daripada mana-mana institusi kewangan dan memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Dana Usahawan PKNK, permohonan mereka akan dipertimbangkan.

“Di bawah pembiayaan Dana Usahawan PKNK, usahawan-usahawan boleh memohon pembiayaan untuk membeli aset perniagaan seperti mesin, modal pusingan, pembangunan produk dan perkhidmatan yang berkaitan dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk Agro Pertanian,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Cek Pembiayaan Dana Usahawan PKNK 2012 di Bilik Seminar, Tingkat 7, Wisma PKNK, di sini.

Seramai 21 usahawan menerima cek Pembiayaan Dana Usahawan PKNK yang berjumlah RM444,000 yang disampaikan oleh YB. Abdul Ghani Ahmad.

Pada majlis itu juga, seramai 75 usahawan turut menerima cek Pembiayaan Dana Perayaan berjumlah RM454,000.

Abdul Ghani memberitahu, Dana Keusahawanan ini adalah sebagai satu usaha Kerajaan Negeri dan PKNK untuk membantu IKS kecil dan usahawan, bukannya bermotif keuntungan.

“Usahawan-usahawan IKS yang akan terus berkembang ke tahap yang lebih tinggi dan berskala besar mestilah mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh agensi-agensi pembangunan usahawan lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Bank, Bank Pembangunan, Bank Rakyat, SME Corp dan lain-lain Bank Perdagangan termasuk Bantuan Geran daripada Kementerian yang diwujudkan,” katanya.

Selain daripada itu, ujarnya, penyediaan kertas kerja perniagaan haruslah diberi perhatian oleh setiap usahawan yang memohon kemudahan dana ini dan ianya adalah untuk memudahkan pihak Urusetia Dana membuat penilaian atas permohonan dan usahawan-usahawan yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan akan dipertimbangkan.

Menurutnya, pada mulanya peruntukan untuk Dana Usahawan dimulakan dengan jumlah RM500,000 sahaja pada tahun 2008.

“Apabila kita mendapati ramai usahawan dapat ditingkatkan dengan bantuan ini, maka peruntukan ini ditambah menjadi RM2 juta untuk tahun 2009. Dengan keberkesanan dana ini, Menteri Besar telah bersetuju agar ianya ditambah menjadi RM3 juta pada tahun 2010 dan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta pada tahun 2011,” jelasnya.

Dengan pemberian modal itu, beliau berharap agar setiap usahawan dapat memanfaatkan pembiayaan itu dengan sebaik mungkin bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“Saya berharap agar setiap usahawan perlu berdisiplin dan membayar balik pembiayaan pada waktu yang ditetapkan agar peruntukan ini dapat disalurkan kembali kepada usahawan yang memerlukan modal tambahan,” katanya.

Tambahnya, pinjaman untuk Dana Usahawan PKNK ialah sebanyak RM50,000 untuk selama lima tahun.

Beliau menjelaskan, apabila pembayaran balik dilakukan, maka manfaatnya akan berterusan dan tabung ini akan terus hidup dan dapat membantu lebih ramai usahawan untuk mengembangkan perniagaan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Eksekutif PKNK, Dato’ Abdul Rahman Ibrahim; Pegawai Kewangan PKNK, Tuan Haji Mustafar Ahmad dan Pengurus Besar Korporat PKNK, Tuan Haji Bukhari Abdullah.

Hadir sama ialah Pengurus Kanan Setiausaha Korporat dan Perundangan PKNK, Tuan Haji Ahmad Hajazi Haji Ishak; Pengurus Besar Operasi PKNK, Encik Abdul Rahim Man dan Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan PKNK, Encik Norizham Ahmad.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.