Alhamdulillah : Mahkamah Tinggi KL Membebas dan Melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim Daripada Tuduhan...


 
Keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya akan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas pendengaran 87 hari mulai tahun 2008.

Anwar didakwa meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 dan menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah.

Beliau menafikan tuduhan itu dan ia sebagai satu konspirasi politik untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan juga peluang Pakatan Rakyat bagi menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Seawal jam 5 pagi, penyokongnya mula berkumpul di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, walaupun ketika itu hujan renyai-renyai bagi menunjukkan sokongan mereka.

Lebih ramai juga dijangka akan tiba sebelum keputusan perbicaraan liwat II yang membabitkan ketua pembangkang itu diumumkan hari ini.

Tidak kurang juga tedapat puluhan kenderaan polis dan anggotanya yang dikerahkan bagi memantau keadaan di situ.

Penyokong yang hadir itu antara lain membawa sepanduk yang tertera perkataan "Rakyat Hakim Negara" dan "Tolak Fitnah, Lawan Konspirasi".

Mereka juga memakai kain berwarna biru dengan tertera perkataan "Keadilan" dan kain lilit hijau dengan perkataan "Hidup Anwar".

LAPORAN LANGSUNG

9.30 am : Mahkamah Tinggi KL membebas dan melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. [BHOnline]

9.23am: Hakim Mohamad Zabidin, dalam keputusan yang mengejutkan memutuskan Anwar tidak bersalah dan mengarahkan supaya beliau dibebaskan.

Hakim Mohamad Zabidin yang tidak membaca penghakiman penuh kecuali kesimpulannya berkata kedua-dua bukti iaitu DNA dan oral-lisan tak boleh sabit kesalahan.

"Selepas meneliti bukti, saya tidak boleh pasti 100 peratus bahawa bukti telah diusik.

"Justeru, mahkamah keberatan menerima bukti sedemikian dari SP1 Saiful."


Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail kelihatan menangis sambil memeluk suaminya dalam kegirangan.

Seluruh mahkamah kecoh seketika dengan penyokong Anwar menjerit gembira.

9.20am: Perbicaraan dimulakan dengan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengambil tempatnya.

9.15am: Pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang juga berada dalam mahkamah.

9.14am: Menurut laman Facebook Polis, setakat jam 9 pagi, jumlah orang ramai yang berhimpun pada ralli 901 ini dianggarkan berjumlah 4,500.

9.05am: Seorang penyelaras perhimpunan memberitahu orang ramai bahawa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat juga hadir dan beliau telah dibenarkan masuk ke dalam mahkamah.

8.37am: Para diplomat dan wartawan mula dibenarkan masuk. Turut dibenarkan ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

8.32am: Turut kelihatan adalah Nasir Hashim PSM dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang bersama dengan rakyat.

8.30am: Anwar dan keluarganya tiba sambil diberi sambutan gemuruh dengan laungan “reformasi’ bergema sekitar kawasan ini. Jumlah yang hadir semakin ramai dan sukar dianggarkan dengan tepat kerana mereka tidak berkumpul setempat.

8.25am: Bekas speaker Perak V Sivakumar berkata: "Di kompleks mahkamah ini, kita tahu apa yang berlaku dahulu - semua kes kita semasa krisis Perak, kita kalah.

"Kita tahu pengadilan macam mana yang akan kita terima tetapi rakyat Malaysia tetap akan menuntut Keadilan!”

8.22am: Duta dan perwakilan asing dari Amerika Syarikat, Kanada, Australia, United Kingdom dan beberapa negara Eropah mula berbaris menunggu dibenarkan masuk ke mahkamah untuk mengikuti perbicaraan ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.