PRK DUN Tenang - Jom Tengok Apa Strategi Pakatan Untuk Menangi Hati Pengundi...

PETALING JAYA, 12 Jan: Pilihan raya kecil Dun Tenang yang akan berlangsung 30 Januari ini akan dijadikan medan terbaik oleh Pakatan Rakyat untuk menjelaskan program-programnya kepada orang ramai, sekiranya diberikan mandat memerintah negara dalam PRU Ke-13 nanti.


Oleh itu, pilihanraya tersebut akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Pakatan Rakyat bagi menjelaskan pelbagai isu kepada orang ramai terutama yang membabitkan penyelewengan kerajaan BN terhadap rakyat.


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dengan itu para pengundi di Dun Tenang akan membuat pilihan terbaik dalam pilihanraya itu dengan memberikan undi kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.


Menjawab pertanyaan wartawan mengenai keyakinannya dengan kemenangan calon PAS dalam pilihanraya itu, beliau menegaskan, soal menang atau kalah tidak dapat dipastikan kerana ia berada dalam pengetahuan Allah.


"Pilihan raya kecil Dun Tenang itu diwakili oleh PAS. Saya yakin PAS mempunyai strateginya yang tersendiri untuk menghadapi pilihan raya itu.
"Bagi Pakatan Rakyat, pilihanraya itu akan dijadikan medan untuk menjelaskan isu termasuk program Pakatan Rakyat supaya rakyat sedar dan menolak BN. Jadi saya yakin para pengundi di Dun Tenang akan membuat pilihan yang baik," katanya ketika menjawab soalan wartawan pada sidang medianya di ibu pejabat PKR di sini, semalam.


Sebelum itu, beliau menjelaskan, tindakan pertama Pakatan Rakyat sekiranya diberikan mandat memerintah negara adalah melancarkan perang habis-habisan menentang rasuah di setiap peringkat di tanah air, bermula dengan pemimpin-pemimpin kanan politik.


Tindakan tersebut akan menyelamatkan RM28 bilion yang tiris dari Perbendaharaan Negara setiap tahun akibat rasuah, seperti yang dianggarkan oleh Ketua Audit Negara.


"Selepas itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menstrukturkan semula sistem subsidi untuk memansuhkan subsidi korporat yang hanya mengkayakan beberapa kerat kroni (Umno BN). Jumlah RM19 bilion subsidi korporat yang ditanggung oleh Petronas untuk membayar IPP milik kroni itu akan dipulangkan kepada Perbendaharaan.


"Kita juga akan menyemak semula sistem konsesi tol untuk memansuhkan bayaran pampasan RM4 bilion setiap tahun yang kini ditanggung oleh kerajaan," katanya.


Kesemua perkara yang dinyatakan itu adalah antara perkara yang terkandung dalam Janji 100 Hari Pakatan Rakyat, sekiranya diberikan mandat memerintah negara dalam PRU Ke-13 nanti, yang kini cukup mencemaskan para pemimpin Umno BN.


Beliau berharap agar para pengundi di Dun Tenang turut memahami perkara itu bagi membantu mereka membuat pilihan yang tepat dalam pilihanraya itu nanti.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.