Khalid Samad Ada Maklumat Konspirasi Perlantikan SUK Selangor...


Menteri Besar Selangor dan Exco Kerajaan Negerinya dipercayai ‘disabotaj’ dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, yang menjadi isu sekarang, antara lain kerana tidak dimaklumkan perkembangan semasa urusan lantikan oleh penyandang jawatan tersebut bulan lalu.

Khalid Samad berkata berdasarkan maklumat diperoleh beliau, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud sedia mengetahui yang nama Datuk Mohd Khusrin Munawi sudah pun dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan ia telah menerima perkenan oleh baginda awal Disember lalu.

Khusrin diletakkan sebagai nama teratas dalam senarai kerajaan persekutuan yang dibawa kepada Sultan Selangor menerusi Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu.

Katanya, seolah-olah ada unsur mahu melaga-lagakan pentadbiran kerajaan negeri dengan Sultan Selangor termasuk bagi menggambarkan bahawa Khalid telah lewat bertindak dalam mengemukakan nama calon kepada istana.

Bagaimanapun perkara tersebut tidak dimaklumkan kepada Khalid sehingga Menteri Besar sendiri terkejut dengan makluman pelantikan, yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember.

“Pada mesyuarat Exco 16 Disember 2010, Menteri Besar memaklumkan mesyuarat Exco bahawa tiga nama sudah pun dipilih oleh jawatankuasa pemilihan, malah telah mendapatkan pandangan pandangan Exco mengenai pilihan itu.

“Pada mesyuarat yang sama, Menteri Besar memberitahu bahawa ketiga-tiga nama itu akan dikemukakan kepada Sultan Selangor untuk perkenan pada 17 Disember (keesokan hari).

“Tetapi, mengikut maklumat yang saya terima, Setiausaha Sulit Sultan Selangor menulis kepada Datuk Ramli pada 10 Disember menjawab surat Datuk Ramli bertarikh 3 Disember bahawa calon nombor satu iaitu Datuk Khusrin, yang dipersembahkan, telah diberi perkenan oleh Sultan Selangor,” kata Khalid pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam berkata pada mesyuarat Exco 16 Disember, Menteri Besar memaklumkan bahawa beliau akan bercuti mulai 20 hingga 30 Disember dan sebarang pelantikan hanya perlu diumumkan selepas beliau kembali daripada bercuti.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.