SPRM Digesa Siasat Penyelewengan Air Di Negeri Kedah Darul Aman

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat apa yang didakwanya sebagai penyelewengan berhubung isu air semasa Barisan Nasional memerintah negeri itu.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti banyak penyelewengan yang berlaku semasa pemerintahan BN membabitkan isu air dan setiap dakwaan adalah berasaskan fakta serta rekod.

"Kita tengok banyak penyelewengan dari segi harga contohnya pembinaan loji air di Lubuk Buntar (dekat Kulim) untuk 25 juta liter air, kos sebenar pembinaannya ialah antara RM25 juta hingga RM30 juta, tapi wang yang dibelanjakan ialah RM65 juta.

"Maklumat ini kita dapat secara tak rasmi, kalau nak yang rasmi SPRM kena cari," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad semalam bahawa pemimpin BN tidak takut dengan ugutan Azizan untuk mendedahkan mengenai penyelewengan berhubung isu air itu.

Azizan berkata bukan tugasnya untuk membuat laporan kepada SPRM sebaliknya sesiapa sahaja boleh berbuat demikian kerana beliau telah membuat pendedahan mengenai penyelewengan itu.

"Kerja lain banyak lagi nak buat. SPRM kan rajin, tengok (berdasarkan) kenyataan dalam blog pun mereka dah siasat," katanya.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.