Tabung Impian Rakyat Malaysia (TIRAM) Dilancar, Lebih RM35 Ribu Disumbang Pada Majlis Makan Malam Mega..

Pemimpin Pakatan Rakyat (dari kiri) Mahfuz Omar, Husam Musa, Syed Husin dan Ngeh Koo Ham pada majlis pelancaran Tabung Impian Rakyat Malaysia di Stadium Malawati malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
SHAH ALAM, 8 Ogos — Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Senator Dr Syed Husin Ali mendakwa kerjasama antara 13 komponen Barisan Nasional (BN) sebagai lemah dan tidak akan bertahan disebabkan status Umno yang terlalu mendominasi ikatan itu.

Sehubungan itu kata Syed Husin, cubaan memujuk PAS agar keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) adalah langkah sia-sia kerana gabungan tiga komponen ini, yang ditubuhkan April 2008, jauh lebih kukuh berbanding BN.

“Majlis ini menghantar mesej jelas terutama kepada umno dan pemimpinnya, (Datuk Seri) Najib (Razak) bahawa Pakatan adalah satu badan kukuh dan kuat yang boleh menjatuhkan mereka,” kata Syed Husin ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mega Tabung Impian Rakyat Malaysia (Tiram) di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Tabung itu dilancarkan pada majlis itu.

Malah, Syed Husin mendakwa Umno bertanggungjawab dalam memecahbelahkan kaum dan agama di negara ini.

Beliau memberi contoh betapa Umno menggunakan media tajaan mereka untuk menggambarkan seolah-olah pemimpin PR sering berkelahi dan bertelagah.

“Mereka guna media tunjuk seolah Pakatan Rakyat sering bergaduh, dan pecah belah.

“Itu sebabnya ada beza antara hubungan PAS-DAP dan Umno-MCA,” jelas Syed Husin yang mewakili Ketua Umum PR dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan merujuk kepada masalah dalaman semasa BN.

Syed Husin juga berkata, Umno sanggup menggunakan agama dan hubungan kaum bagi mendapatkan undi rakyat.

“Mereka guna agama dan perhubungan kaum untuk menyubur (sikap) pecah belah di kalangan Pakatan Rakyat, itu sebabnya mereka cakap tentang agama untuk mempertahankan agama tetapi mereka yang bertanggungjawab memecahbelahkan institusi Melayu,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Majlis Makan Malam Mega Tiram mengumpulkan lebih RM35,000 termasuk hasil sumbangan derma dan jualan tiga potret Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz dan karikatur hasilan Zunar.

Jumlah ini melebihi sasaran asal penganjur iaitu dalam lingkungan RM20,000.

Nik Aziz yang sepatutnya melancarkan tabung itu tetapi tidak hadir kerana dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian kerana kepenatan.

“Dia letih... kalau biar rehat di rumah nanti orang datang melawat, tak dapat rehat dengan sempurna. Jadi dibawa ke hospital,” kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kepada The Malaysian Insider.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan diwakili oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar manakala Penasihat DAP Lim Kit Siang pula diwakili Datuk Ngeh Koo Ham iaitu pemimpin jawatankuasa eksekutif parti itu dan Ahli Parlimen Beruas.

Tiram ditubuhkan untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti boleh membentuk kesedaran dan mendidik masyarakat tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat di negara yang mengamalkan demokratik.

Dalam pada itu, Penasihat Tiram, Datuk Husam Musa pula berkata, tabung ini mampu memberikan harapan dan menyampaikan maklumat benar kepada rakyat dengan mempertahankan prinsip demokrasi.

“Hasrat kami adalah untuk bergerak dengan lebih efektif untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat, bukan saja untuk pilihan raya umum akan datang,” ujar Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Tiram turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang anggota mereka mati ditembak polis termasuk Aminulrasyid Amzah, 15 dan keluarga Ibrahim Libya yang terbunuh dalam peristiwa Memali.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menganggap program Tiram berjaya dan permulaan kepada usaha menjadikan negara ini lebih bebas daripada amalan-amalan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi.

“Ini merupakan usaha serius yang perlu dilakukan demi negara. Asas kita adalah prinsip keadilan yang menerangi semua,” ujar beliau.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.