1000 Netbook 1Malaysia Diterima Pelajar Kawasan DUN Kuala Nerang

KUALA NERANG: Seramai 1,000 pelajar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang menjadi kumpulan pertama di Kedah menerima netbook 1Malaysia dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Netbook dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta itu diberi di bawah program Inisiatif Jalur Lebar Negara khusus untuk pelajar dari golongan miskin yang dilancarkan kerajaan pada Mac tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hasim menyampaikan netbook tersebut kepada pelajar berkenaan dalam satu majlis di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang, hari ini.

Pengarah SKMM Wilayah Utara, Mohd Hussin Ali, berkata SKMM telah menubuhkan dua Pusat Jalur Lebar Komuniti di Kampung Baru dan Masjid Aisyah, Kampung Tanjung di sini bagi memudahkan penerima netbook melayari internet.

"Kami juga akan memantau dan melatih mereka dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya selepas majlis penyerahan netbook itu.

SKMM berharap ibu bapa dan orang ramai memanfaatkan Pusat Jalur Lebar Komuniti dengan menjadi ahli supaya dapat menikmati perkhidmatan secara percuma, katanya.

Dalam ucapannya, Syed Sobri berkata, masyarakat yang hendak maju dan bersaing dalam apa jua bidang sekalipun di zaman ini perlu menguasai bidang ICT.
"Kerajaan telah membuat langkah bijak melancarkan program pemberian netbook ini yang membantu masyarakat luar bandar," katanya dan menambah ramai usahawan terkaya dunia yang baru muncul adalah dalam bidang ICT.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.