Isu Perkauman Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Selesai : KPP Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom hari ini menyatakan kenyataan seorang pengetua sekolah menengah di Johor yang didakwa bersifat perkauman hanyalah salah faham dan perkara itu telah diselesaikan.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Inshah Mansor sebelum ini dikatakan mengeluar kenyataan “Pelajar Cina... boleh pulang ke China,” dan menyamakan gelang keagamaan kaum India seperti rantai anjing ketika perhimpunan sekolah itu.

Alimuddin menafikan pengetua itu telah ditukarkan ke sekolah lain.

“Tiada perubahan, isu ini hanyalah salah faham dan telah diselesaikan antara pengetua dan pelajar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan provokasi yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun maksimum atau denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan sejumlah 17 aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kulai Jaya DSP Mohd Kamil Sukarmi memberitahu wartawan bahawa polis akan memanggil Siti Inshah untuk memberi keterangan hari ini.

Khamis lalu, pengetua tersebut dilaporkan membuat komen bersifat menghina semasa perasmian sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah.

“Pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China atau Sekolah Foon Yew. Kepada pelajar India, rantai keagamaan yang dipakai di leher dan tangan membuatkan mereka kelihatan seperti anjing kerana hanya anjing diikat sebegitu,” Siti Inshah dilaporkan berkata dalam sekurang-kurangnya satu laporan polis.

Penolong Pengarah Pelajaran Negeri Markom Giran juga telah mengeluarkan kenyataan pengetua itu ‘direhatkan’ sementara menunggu tindakan disiplin.

Pentadbiran sekolah mengesahkan bahawa pengetua itu telah pun bercuti semenjak semalam dan hanya akan kembali bertugas Isnin depan.

Semalam, Lim Kit Siang menyarankan kerajaan untuk mengambil tindakan tegas ke atas pengetua tersebut kerana membuat komen menghina dan bersifat perkauman ketika perhimpunan sekolah.

1 comments:

  1. kalau org pembangkang dah tentu kena ISA terus,org umno pergi mampus

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.