Isu Pengerusi PAC Selangor: Dah Jadi Pembangkang Sepatutnya Dah Cukup Baguslah Dapat Jadi Pengerusi PAC.. Ini Tidak........

KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Pendirian Barisan Nasional (BN) menolak pelantikan ADUN Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Selangor kekal sehingga permintaan ditambah wakil ikatan itu ditunaikan.

Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, BN hanya akan terima tawaran itu sekiranya diberikan kuasa dan majoriti dalam PAC.

“Kita hanya akan terima jika diberikan (kedudukan) majoriti kerana kita tidak mahu seperti patung, tidak mampu buat apa-apa.

“Tidak ada guna jika Shamsudin (ADUN BN) pegang jawatan pengerusi PAC jika tiada kuasa untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bekas menteri besar Selangor itu menambah pihaknya mahu permintaan itu dipenuhi.

“Kini kita mempunyai dua pilihan, pertama Shamsudin boleh menolak jawatan itu atau yang kedua beliau boleh cuba dulu.

“Jika beliau tidak mendapat kerjasama daripada ahli PAC yang lain dari kerajaan Pakatan Rakyat maka beliau harus melepaskan jawatan itu.

“Ini kerana kita beranggapan bahawa kerajaan negeri tidak serius dalam soal pelantikan ini,” kata Khir (gambar).

Shamsudin tidak dapat dihubungi kerana berada di luar negara.

Beliau sebelum ini menolak usul yang membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi PAC atas alasan ia hanya bermotifkan politik.

Beliau berkata, keputusannya tidak berubah kerana ia berkaitan dengan prinsip dan maruah sebagai wakil rakyat BN.

“Saya memang tidak terima usul tersebut kerana saya bimbang ia hanya bermotifkan politik. Bahkan ADUN BN yang lain dari awal sudah menolak usul tersebut.

“Ini adalah soal prinsip dan maruah saya, jadi saya perlu mempertahankan,” katanya.

Malah Khir juga sebelum ini berkata, tidak mengubah fikiran kerana kesemua wakil rakyat BN telah bersepakat untuk terima usul tersebut dengan syarat ahli BN dalam PAC ditambah.

“Sekarang dalam PAC jumlah ahli Pakatan Rakyat adalah lima orang, manakala ahli BN dua orang termasuk Shamsudin. Kita mahu sekurang-kurangnya empat ahli BN dan tiga ahli Pakatan Rakyat dalam PAC, ini baru adil.

“Kalau DUN Selangor tambah jumlah ahli BN kita akan terima,” katanya lagi.

Sebelum ini, Speaker Teng Chang Kim menyifatkan tindakan Shamsudin menolak pelantikan sebagai Pengerusi PAC sebagai berfikiran sempit kerana menolak kepercayaan diberikan dewan.

Teng berkata tindakan Shamsudin menolak usul yang membolehkan beliau dilantik memegang jawatan itu seolah-olah mengabaikan tanggungjawab rakyat.

Ini kali pertama DUN Selangor melantik wakil pembangkang mengetuai jawatankuasa itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.