Banyak Negara Mengkaji Telefon BlackBerry Yang Boleh Mengancam Keselamatan Negara

ALGIERS, 6 Ogos — Algeria sedang mengkaji penggunaan telefon BlackBerry dan akan mengharamkan penggunaannya jika boleh mengancam keselamatan negara.

“Kami sedang melihat isu ini. Jika kami mendapati ia mendatangkan bahaya kepada ekonomi dan keselamatan kami, kami akan menghentikannya,” kata akhbar El Khabar yang memetik Menteri Telekomunikasi Moussa Benhamadi semalam.

Algeria muncul negara terbaru memperlihatkan kebimbangan berhubung ciri-ciri Blackberry yang mendapat perhatian ramai sejak awal minggu ini khususnya di kalangan negara Teluk.

Dalam pada itu Amerika Syarikat mahu mengadakan perbincangan teknikal dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara lain berhubung pertimbangan untuk mengharamkan komponen Blackberry Messenger.

Mengumumkan perkara itu semalam, Setiausaha Negara Hillary Clinton memberitahu, pihaknya sedang berusaha untuk mengadakan perundingan dan menganalisis isu itu secara menyeluruh.

“... kami tahu bahawa ada isu yang sewajarnya diberi perhatian, malah terdapat juga kewajaran tentang soaln kebebasan penggunaan dan akses kepada kemudahan ini,” kata beliau di Washington.

Tiga hari lalu, pengeluar BlackBerry, Research in Motion (RIM) menyatakan tekad untuk tidak akan menjejaskan keselamatan pengguna selepas dua kerajaan Teluk mengancam untuk menyekat perkhidmatan pentingnya.

Syarikat yahg beribu pejabat di Kanada menyatakan yang ia “tidak akan mengambil mudah dalam soal integriti dan keselamatan BlackBerry.”

Kerajaan UAE dan Arab Saudi bersedia mengharamkan fungsi ‘Messenger’, e-mel dan web atas sebab keselamatan yang berpunca dari kebimbangan ia mungkin digunakan untuk aktiviti haram.

Dalam kenyataannya, RIM mengakui ia membincangkan isu keselamatan dengan kerajaan tertentu, namun syarat perundangan kerajaan serta keperluan keselamatan dan privasi syarikat dan pengguna turut dipatuhi.

BlackBerry mempunyai lebih 700,000 pelanggan di Arab Saudi dan 500,000 di UAE, sebuah negara yang kini menjadi hab perniagaan terutama sekali di Dubai.

RIM cuba menyakinkan pelanggan perniagaan bahawa rahsia syarikat yang dikawal rapi ketika dihantar melalui e-mel atau messenger tidak berdepan sebarang risiko.

“Keselamatan BlackBerry direka khas untuk membekalkan pelanggan korporat dengan keupayaan menghantar maklumat tanpa wayar selain memberikan keyakinan bahawa tiada sesiapa termasuk RIM sendiri boleh mengakses data mereka,” demikian kata syarikat itu.

Keputusan UAE dibuat ketika pemantau media, Reporters without Borders menuduhnya sebagai “mengganggu dan menahan pengguna BlackBerry Messenger yang cuba mengaturkan protes menentang kenaikan harga petrol.”

Indonesia juga sedang mengkaji soal penggunaan BlackBerry.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.