Tolak Usul Isu Penan Bukti Umno-BN Tidak Peduli

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 15 Julai - Timbalan Speaker Dewan rakyat, Datuk Ronald Kiandee menolak usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berhubung dakwaan penderaan seksual terhadap wanita kaum Penan.

Zuraida sebelum itu mahu usul tersebut dibahaskan di parlimen bagi mencari penyelesaian selain menubuhkan satu Jawatankuasa Di Raja bagi menyiasat dakwaan tersebut.Speaker Dewan Rakyat mengambil keputusan menolak usul tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) kerana sudah wujud Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan dan perkara itu telah disiasat oleh jawatankuasa terbabit.

Zuraida yang ditemui pada sidang media semalam berkata beliau kecewa dengan penolakkan usul tersebut dan juga alasan yang diberikan oleh Timbalan Speaker.

"Saya kecewa dengan keputusan yang diberikan oleh Timbalan Speaker kerana menolak permohonan usul saya berkenaan kes penderaan seksual wanita Penan, alasan yang diberikan beliau kerana sudah wujud Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan.

"Saya mengemukakan usul ini setelah meneliti laporan oleh 'Penan Support Group' dalam konteks lebih luas mengenai eksploitasi seksual wanita dan gadis di Baram Tengah dan Ulu Baram Sarawak. Saya mendesak agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk segera menyiasat keberkesanan tindakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan juga pihak polis dalam menangani masalah ini.

"Pada bulan Oktober 2009, laporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan bagi menyiasat dakwaan penderaan seksual terhadap wanita kaum Penan di Sarawak telah mendedahkan kepada umum dan menegaskan telah berlaku penderaan seksual kepada gadis dan wanita kaum Penan.

"Laporan tersebut juga telah mendedahkan bahawa terdapat tujuh kes baru penderaan seksual di kalangan gadis dan wanita kaum Penan, selain itu juga menjelaskan usaha pihak kerajaan untuk melindungi gadis dan wanita kaum Penan masih tidak memberi kesan. Saya kesal sehingga kini tidak ada seorang pun yang diheret ke muka pengadilan untuk bertanggungjawab ke atas penganiayaan ini," jelasnya.

Tambah beliau, kelambatan mengambil tindakan mungkin disebabkan komisyen yang tinggi yang diberikan oleh penguasa balak kepada kroni di dalam kerajaan negeri Sarawak ataupun mereka yang terlibat adalah dari kelompok Umno-Barisan Nasional maka tindakan tidak boleh diambil.

"Jika perkara ini dilakukan oleh Pakatan Rakyat saya rasa baru sahaja kenyataan dikeluarkan, pihak polis atau pemimpin Umno terus melenting dengan pelbagai fitnah karut mereka," tegas beliau.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Najib tidak mengikut rangka lawatan yang telah diberikan tetapi mendekati kaum Penan bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ketika melawat Sarawak nanti.

"Saya gesa sempena lawatan Najib ke Sarawak nanti janganlah beliau menggunakan sistem 'touch n go' datang tunjuk muka dan terus balik berehat di hotel yang mewah, beliau sepatutnya keluar daripada jadual asal yang telah disediakan dan pergi mendekati kaum Penan bagi mengetahui apa yang telah berlaku di dalam kaum tersebut.

"Najib jangan hanya mendengar apa yang dilaporkan oleh kakitangannya, beliau sendiri perlu mendengar rintihan wanita yang menjadi mangsa rogol oleh pekerja pembalakkan. Dengan cara ini sahajalah baru Umno dan semua pemimpin Sarawak bangun untuk mengambil tindakan," kata Tian

Wong Ho Leng yang merupakan Ahli Parlimen Sibu juga mengesa Najib bertemu sendiri dengan seluruh masyarakat kaum Penan kerana kegagalan Najib mendekati mereka menyebabkan pihak-pihak yang diberi tanggungjawab bagi menangani masalah tersebut menafikan bahawa wujud kes rogol terhadap gadis dan wanita kaum Penan.

Beliau juga mahukan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dengan segera tanpa mengira apa pun jawatan yang dipegang.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.