Felda: Anak akan jumpa Tengku Razaleigh, PAC

Nazri Abdullah

PUTRAJAYA, 15 Julai: Selepas membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan Felda, Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah untuk penubuhan kaukus di Parlimen.

Selain itu, mereka juga akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi memohon jawatankuasa itu menyiasat laporan dakwaan penyelewengan Felda tersebut.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Anak, Mazlan Aliman selepas membuat laporan di pejabat SPRM di sini, pagi ini.

Hadir bersama beliau beberapa wakil peneroka termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Mazlan berkata, pihaknya mahu berjumpa dengan Razaleigh kerana veteran Umno itu adalah antara orang yang terlibat dengan penubuhan Felda.

Laporan SPRM tersebut dibuat berikutan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa kemerosotan rizab tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada 2009 ekoran RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula, termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta pinjaman pembesaran rumah peneroka, RM662 juta untuk bagunan baru Menara Felda.

Bagaimanapun, Anak berpendapat banyak keraguan di sebalik penjelasan tersebut.

Mengulas isu debat yang ditolak, Mazlan berkata beliau kini bersetuju untuk hanya berdialog seperti dikehendaki Ahmad dengan syarat ianya diadakan secara terbuka.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.