Model Zahnita Disaman Gulatis RM30 juta

Belumpun perbicaraan kes samannya terhadap syarikat tekstil Gulatis Exclusive Sdn Bhd didengar, kini model Zahnita pula disaman Gulatis kerana mengeluarkan pernyataan fitnah kepada syarikat itu.

Dalam saman fitnah yang difailkan Februari lalu, Gulatis menuntut gantirugi RM30 juta bagi gantirugi fitnah, teruk dan teladan, faedah, kos dan perintah injunksi bagi menghalang Zahnita sama ada secara sendiri atau melalui ejennya mengeluarkan semula perkataan fitnah itu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norhatini Abd Hamid, menetapkan 8 Oktober ini bagi pengurusan kes saman itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini.

Pada 11 Disember tahun lalu, Zahnita menyaman Gulatis kerana menggunakan gambarnya di poster dan iklan syarikat itu tanpa kebenarannya dan mendakwa beliau telah mengalami kerugian besar berikutan pembatalan usahasamanya dengan syarikat tekstil Jakel Trading kerana perkara itu.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan pada 17 Ogos ini.

Gulatis dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson telah mengeluarkan perkataan fitnah dalam pernyataan tuntutannya itu.

Syarikat itu berkata, antara perkataan fitnah itu ialah bahawa Zahnita tahu gambar yang digunakan Gulatis itu bukan miliknya (Zahnita) dan dia bersetuju supaya gambar itu digunakan oleh Gulatis dengan bayaran RM5,000.

Gulatis berkata, selepas saman berjumlah RM2 juta itu difailkan oleh Zahnita, gambarnya (Zahnita) masih lagi digunakan oleh Jakel.

Gulatis berkata, kenyataan fitnah itu telah diterbitkan di akhbar tempatan pada keesokan harinya dan melalui televisyen pada hari yang sama.

Syarikat itu mendakwa perkataan itu membawa maksud antaranya syarikat itu penipu, tidak amanah, mengeksploitasi dirinya dan lanun cetak rompak.

Akibat itu, jualan barangan syarikat itu telah merosot malah pelanggan borong mula menangguhkan bayaran kepada syarikat itu.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.