Isu pasir: Speaker Halau ADUN BN Keluar Dewan

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim hari ini menghalau Abdul Syukur Idrus (BN-Kuang) keluar daripada dewan.

Tindakan itu dilakukan Teng mengikut peraturan mesyuarat 44 (2) selepas bertikam lidah dengan Abdul Syukur selama kira-kira 10 minit.

"Saya perintah bawah peraturan mesyuarat 44(2) disebabkan YB degil, saya perintahkan yang berhormat keluar daripada dewan," kata Teng selepas Abdul Syukur (kanan) berkeras untuk mengemukakan soalannya.

Abdul Shukur ingin mengemukakan soalan berkaitan aktiviti kecurian pasir di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau disekat oleh Teng apabila enggan menyatakan peraturan mesyuarat untuk membolehkannya bangun bercakap.

Bercakap kepada media selepas itu, Teng berkata Abdul Syukur juga digantung daripada dewan selama satu hari memandangkan beliau telah berkali-kali memberi peringatan kepada ADUN Kuang itu seupaya mematuhi perintah tetap.

Katanya, peraturan 35(1) yang dipetik oleh Abdul Syukur hanya peruntukan umum untuk membolehkan seseorang ahli bercakap, dengan kebenaran speaker dewan.

"Tetapi kalau dia hendak bawa apa-apa isu, dia kena spesifik kepada peraturan apa," katanya lagi ketika ditemui wartawan di luar dewan.

Katanya, Abdul Syukur ingin bercakap bawah peraturan 34(1) untuk menyoal mengenai satu usul yang telah ditolak olehnya sebelum ini.

Jelasnya, beliau tidak membenarkan tindakan itu kerana peruntukan berkenaan adalah untuk menarik balik sesuatu usul.

Tambahnya, usul berkenaan adalah untuk memotong gaji menteri besar, atas kegagalan menteri besar menguruskan isu kecurian pasir.

Katanya, beliau menolak usul tersebut kerana tidak dikemukakan mengikut peraturan sepatutnya, iaitu bawah peraturan perbekalan (bajet).

Beliau juga menolak dakwaan daripada Abdul Syukur, bahawa kerajaan negeri ingin menutup isu pasir apabila menolak usul berkenaan.

Jelasnya, dakwaan Abdul Syukur itu menunjukkan wakil pembangkang tidak memahami konsep pengasingan kuasa yang diamalkan kerajaan negeri.

Jelasnya, eksekutif tidak akan mengetahui sekiranya dewan telah menolak sesuatu usul daripada dibincangkan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.