Editor MerdekaReview dipanggil polis : Kenyataan MCA selar PERKASA

Editor MerdekaReview (edisi bahasa Melayu) dipanggil polis untuk membantu dalam siasatan berhubung tuduhan PERKASA (Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia) bahawa Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen telah mengeluarkan satu kenyataan yang berbaur hasutan pada 1 Julai 2010.

Editor MerdekaReview, Lim Hong Siang dihubungi oleh seorang pengawai penyiasat (IO) dari Balai Polis Dang Wangi pada tengah hari tadi, untuk diaturkan masa temujanji (2 Ogos, jam 11 pagi) agar Lim tampil memberi keterangan selaku saksi. Lim Hong Siang dimaklumkan bahawa siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan 1948.

Menurut laporan Utusan Malaysia pada 8 Julai, Timbalan Presiden PERKASA, Abdul Rahman Abu Bakar menuduh bahawa Chua Kim Sen telah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, malah menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan ahli PERKASA dan orang Melayu yang menyokong PERKASA.

Malah, Perkasa menyifatkan bahawa kenyataan Chua Kim Sen (gambar kiri) sebagai kenyataan paling biadap dan kurang ajar yang pernah dikeluarkan oleh ahli parti komponen Barisan Nasional kepada orang Melayu.

Kemudian, Ketua Pemuda MCA Wee Ka Siong dan Setiausaha Agungnya, Chua Kim Sen dipanggil polis untuk diambil keterangan, berikutan aduan yang dilaporkan oleh pemimpin PERKASA, menurut laporan Sin Chew Daily pada 9 Julai 2010.

Selar Suara PERKASA

Sebelum ini, Chua Kim Sen dan beberapa orang pemimpin Pemuda MCA telah mengeluarkan kenyataan media, menyelar terbitan Suara PERKASA yang menyiarkan artikel berjudul "Tahan Ka Siong bawah ISA" di muka depan akhbar tersebut. Bukan sahaja Chua, malah beberapa orang pemimpin Pemuda MCA yang lain juga mengeluarkan kenyataan pada 1 Julai untuk membela Ketuanya, iaitu Wee Ka Siong.

Selain menyiarkan kenyataan-kenyataan Pemuda MCA di laman edisi bahasa Cina, MerdekaReviewjuga menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu, untuk disiarkan dalam laman edisi bahasa Melayu.【Pemuda MCA selar PERKASA: Ektremis celaka ini patut ditahan ISA!】

MerdekaReview memetik kenyataan Chua Kim Sen yang dilampirkan (attachment) pada email-nya (yang juga dihantar kepada media-media lain), dengan kritikannya berbunyi "PERKASA langsung tidak masuk akal. Pertubuhan yang dipimpin Ibrahim Ali ini bukan sahaja ekstrem, malah satu pertubuhan yang mengada-ada. Memang celaka betul!"

Bagaimanapun, setelah pemimpin PERKASA meluahkan ketidakpuasan terhadap istilah "celaka" yang digunakan, MerdekaReview mendapati bahawa kenyataan Chua Kim Sen berbeza antara versi yang terpapar pada email-nya dengan kenyataan yang dilampirkan dalam email yang sama itu sendiri.

Dalam kenyataan yang dipapar terus pada email tersebut, frasa "Memang celaka betul!" (yang terdapat dalam lampiran) telah digantikan dengan "ia berbahaya untuk keselamatan negara seandainya pertubuhan ini (PERKASA) tidak diambil tindakan." MerdekaReview tidak menyedari perbezaan antara dua versi tersebut semasa menyiarkan kenyataan Chua Kim Sen.

Ketika dihubungi MerdekaReview pada hari ini, Chua Kim Sen mendakwa dirinya sedang sibuk dan tidak lapang untuk ditemuramah. Bagaimanapun, Chua gagal dihubungi apabila MerdekaReview membuat cubaan kedua kemudiannya.

*Chan Kim Ming ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.