Rafidah Aziz Menyamakan Orang Melayu “Hanya Berharga 2 Sen”


KUALA LUMPUR, 8 Jun – Majlis Perundingan Melayu (MPM), yang ditubuhkan tiga bulan lalu, sambil mendakwa Tan Sri Rafidah Aziz telah menghina orang Melayu dengan menyamakan pandangan mereka sebagai “hanya berharga dua sen”, mendesak bekas anggota Kabinet pusat memohon maaf secara terbuka.

Gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) itu juga mendakwa kenyataan Rafidah telah memperlekehkan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera dalam mengemukakan tuntutan mereka menerusi kongres diadakan bulan lalu.

Sehubungan itu, jurucakap MPM, Prof. Kamarudin Kachar yang juga Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera: Moden Ekonomi Baru (MEB) berkata, bekas ketua Wanita Umno itu tidak harus membuat apa-apa komen memandangkan beliau tidak tahu apa yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut bulan lalu.

“Ia bukan hanya membabitkan Perkasa, tetapi melibatkan pandangan 126NGO. Oleh itu, adalah tidak wajar beliau memanipulasikan denganmengatakan seolah-olah Datuk Ibrahim Ali sahaja yang bercakap (mengenai isu MEB).

“Beliau seharusnya berhati-hati dalam memberikan pandangan supaya tidak memperkecilkan orang Melayu.

“Saya bukannya mempertahankan Datuk Ibrahim Ali, tetapi hendak memberitahu di sini bahawa beliau hanya membacakan kenyataan yang diputuskan oleh kongres ekonomi MPM,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

MPM menganjurkan kongres itu 29 Mei lalu dengan majlis penutup disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perkasa yang diketuai oleh Ibrahim, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, merupakan salah satu anggota pengasas MPM.

Kamarudin yang juga Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia menambah, beliau melihat kenyataan Rafidah adalah sesuatu yang “tidak wajar sama sekali.”

“Saya adalah pengerusi kongres, saya tahu kandungan perbincangan yang dihadiri oleh 1,226 peserta daripada 126 NGO, melibatkan peserta pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider minggu lalu, Rafidah menggesa kaum Bumiputera supaya memfokus terhadap aspek pertumbuhan dalam MEB tanpa hanya cuba mengetengahkan agenda peribadi sendiri.

Beliau menyifatkan mereka yang menentang inisiatif MEB sebagai tindakan yang boleh mengakibatkan kesan buruk dan golongan berfikiran sempit.

“Kumpulan-kumpulan seperti Perkasa, mereka hanya melihat MEB menerusi satu perspektif. Mereka menganggap ia sebagai hak mereka untuk meletakkan (pandangan) dua sen (dalamnya) tetapi ini boleh menyebabkan kesan berlawanan,” kata Ahli Parlimen Kuala Kangsar ini.

“Saya juga seorang Bumiputera tetapi yang pertama dan paling penting sekali, saya percaya kita perlu mencapai pertumbuhan terlebih dahulu sebelum kita mengetengahkan agenda Bumiputera,” kata bekas ketua Pergerakan Wanita Umno ini.

Malah menurut Rafidah, tentangan hebat yang datang daripada kumpulan seperti Perkasa tidak menggambarkan pandangan keseluruhan orang Melayu negara ini.

“Hanya media memberikan liputan kepada seorang. Jika anda bercakap kepada semua dalam Perkasa, saya pasti anda akan mendapati bahawa bukan semua berkongsi pandangan yang sama sebagaimana dikatakan oleh presiden mereka (Datuk Ibrahim Ali),” katanya.

“Ibrahim Ali hanya satu orang. Bukan semua mahu berkongsi pandangan yang sama seperti pemimpin mereka,” katanya.

Ibrahim menubuhkan Perkasa, yang kini dilihat sebagai NGO Melayu terbesar di negara ini tahun lalu, antara lain selepas perubahan landskap politik negara ketika pilihan raya umum 2008.

Ibrahim pula berkata, sebagai bekas Ketua Wanita Umno dan bekas menteri Melayu, bukankah lebih elok dan lebih terhormat jika beliau memberi pendapat membina serta membantu MPM merealisasikan segala resolusi yang dirumus tempoh hari.

“Sebaliknya kecaman yang dilontarkan kepada MPM jelas menampakkan kedangkalan serta kehilangan roh Melayunya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi Perkasa Selangor, Abdullah Mansor juga melahirkan pandangan yang sama dengan menegaskan, kenyataan Rafidah itu merupakan satu bentuk “penghinaan” kepada orang Melayu

“Dalam hal ini, bukan Perkasa atau Datuk Ibrahim yang bernilai dua sen, tetapi sebenarnya Rafidah yang bernilai kurang dua sen,” kata beliau sambil menyoal adakah “dua sen itu turut dirujuk kepada perdana menteri yang datang ke majlis kami dan menerima usul kami.”

“Sebenarnya Rafidah yang bernilai dua sen, bukan kami... saya berpandangan bahawa kenyataan ini tidak harus datang daripada seorang bekas menteri,” katanya.

Naib Presiden Perkasa Dr. Zubir Harun juga mengecam Ahli Majlis Tertinggi Umno itu dengan memberitahu seluruh orang Melayu harus bersyukur kepada Allah kerana Rafidah tidak dilantik menjadi menteri dan telah ditolak oleh Wanita Umno sebagai ketua.

“Tidakkah Rafidah sedar bahawa selama ini pendekatan pertumbuhan dan pengagihan yang diamal dari pentabiran Tun Razak hinggakan kepada Tun Mahathir telah membawa kemakmuran dan kestabilan negara.

“Rafidah perlu sedar bahawa ramai Melayu sangat meluat melihat Melayu liberal yang sudah menikmati kekayaan dan kini tidak lagi ingin mempertahankan bangsa Melayu,” katanya.

Kata Zubir, Rafidah juga perlu sedar bahawa suara Ibrahim bukan sahaja mewakili ahli Perkasa seluruh negara tetapi suara umat Melayu seluruh negara yang merasa MBE akan menggugat survival generasi Melayu dan Bumiputera.

“Ingin kita nyatakan di sini bahawa pandangan tentang MBE bukan suara Datuk Ibrahim seorang, tetapi mewakili Majlis Perundingan Melayu yang mana bekas ketua pengarah UPU, Datuk Halipah dalam keadaan sebak menyatakan bahwa MBE tidak ada agenda Bumiputera dan ini disokong oleh ahli panel kongres Senator Akbar Ali iaitu bekas timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan.

“Kedua mereka adalah bekas pegawai kanan kerajaan dan semesti nilai pandangan mereka bukan bernilai dua sen,” katanya.

Zubir juga berkata, “tidakkah Rafidah sedar bahawa MBE yang dikemukakan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) telah gagal membentangkan kenyataan polisi yang jelas mengenai agenda pembangunan Ekonomi Bumiputera dalam MBE.”

“MPEN didapati gagal meletakkan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera sebagai agenda teras negara walaupun Bumiputera adalah merupakan penduduk terbesar dan terbelakang dari segi ekonomi di negara ini.

“Tidakkah Rafidah sedar bahawa MBE bukan satu model ekonomi yang sempurna,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.