Pelatih mati: Prosedur latihan Intan dipersoal

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (gambar) mempersoalkan prosedur tetap operasi (SOP) pihak Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) sehingga menyebabkan kematian seorang pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) akibat jangkitan paru-paru semasa menjalani latihan anjuran institut berkenaan.

Beliau berkata, peserta-peserta seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan yang lengkap sebelum dilibatkan dalam sebarang aktiviti lasak.

"Program-program lasak seperti ini mesti ada prosedur tetap operasinya. Peserta-peserta mesti menjalani full executive screening sebelum dilibatkan," katanya kepada Harakahdaily.

Norhashimah Wahid, 31, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.35 pagi semalam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi setelah koma sejak Jumaat lepas.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Norhashimah, Lo' Lo' juga meminta pihak Intan lebih bertanggungajwab dalam menganjurkan program sedemikian bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang kembali.

Intan juga, ujarnya perlu menjelaskan secara jujur serta memaklumkan kepada orang ramai mengenai insiden berkenaan.

"Penganjur mesti bertanggungjawab dan menangani permasalahan ini dengan jujur. Orang ramai perlu dimaklumkan sebab musababnya dan latihan ala komando seperti ini harus ditangguhkan," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau turut menyarankan agar program peningkatan ketahanan fizikal dan mental dijalankan secara berfasa bertujuan menerapkan budaya bersukan dan kemahiran menyelamat serta meningkatkan minat kepada kerja-kerja sukarela.

"Kenapa tidak buat program meningkatkan ketahanan fizikal dan mental melalui program berfasa dan dengan tujuan menerapkan budaya bersukan dan kemahiran menyelamat atau survival serta meningkatkn minat kepada kerja-kerja sukarela. Apa tujuan latihan komando? Ia akan menjadi latihan one-off sahaja sebab saya tidak yakin ada program follow up. Modul-modul latihan seperti ini perlu disemak," katanya.

Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik meninggalkan suami, Ahmad Zulkhairi Zainal Abidin, 31, dan seorang anak perempuan Nur Hylda Daenia, dua tahun.

Allahyarham sedang mengikuti latihan Modul Jati Diri di Jugra, Banting, selama tujuh bulan sebelum disahkan jawatan sebagai PTD dan telah tiga bulan mengikuti latihan itu.

Sebelum kejadian, Norhashimah yang bertugas di Kementerian Kewangan, Putrajaya, mengadu tidak sihat, tetapi beliau terpaksa mengikuti latihan tersebut.

Ibunya, Norlia Rashid, 61, bahawa berkata sejak Ahad lepas kesihatan Norhashimah tidak begitu baik tetapi dia tetap mahu pulang ke kem untuk menjalani latihan seperti biasa.

Abang iparnya Zakir Hussain, 41, sebagaimana disiarkan sebuah portal berita memberitahu bahawa beliau difahamkan antara latihan yang ditempuhi oleh Norhashimah dan rakan-rakannya semasa modul jati diri itu ialah meminum air stokin dan direndam di dalam lumpur.

Beliau berkata latihan seperti itu nampak tidak relevan kerana adik iparnya bukan anggota tentera yang hendak dihantar berperang, memadai beliau diberikan latihan asas ketenteraan.

Sementara itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula menafikan laporan media bahawa latihan itu di bawah kendalian dan seliaan Pasukan Khas Udara TUDM.

"Latihan itu bukan di bawah kelolaan kami atau mana-mana unit di bawah naungan TUDM, sebaliknya ia dikelolakan sepenuhnya oleh agensi lain yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan TUDM," kata satu kenyataan TUDM.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.