Peguam: Sarjan TUDM jadi ‘kambing hitam’ kes enjin jet

Tharmendran gagal membayar ikatan jamin RM150,000 dan masih ditahan polis.

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Peguam keluarga Sarjan N. Tharmendran, yang kini menghadapi tuduhan mencuri dua enjin jet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mahu mendedahkan semua dengan membuat laporan polis berhubung layanan buruk diterimanya ketika dalam reman.

Lawyer N. Surendran memberitahu The Malaysian Insider bahawa anak guamnya dijadikan “kambing hitam” apabila dikenakan tuduhan bersubahat dan mencuri enjin-enjin pesawat jet F5 TUDM dan ditahan reman di Penjara Sungai Buloh.

“Dia hanya seorang staf berpangkat rendah dan kami percaya tuduhan ke atas dia hanya bertujuan melindungi pihak tertentu,” kata Surendran.

TUDM mengesan kehilangan enjin jet dan rekod penyelenggaraan pada 22 Mei 2008 dan laporan polis dibuat pada 4 Ogos tahun yang sama.

Kehilangan itu dilihat sebagai isu besar yang memalukan dan menjejaskan nama kerajaan ekoran siri peristiwa menimpa Kementerian Pertahanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji tidak akan ada sebarang usaha untuk menutup kes tersebut.

Najib merupakan Menteri Pertahanan ketika kejadian manakala Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang menerajui kementerian itu sekarang mendakwa ia merupakan satu kerja dalaman.

Surendran mendakwa anak guamnya itu dipaksa membuat pengakuan mencuri enjin-enjin itu.

Katanya, mereka akan mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam memaksa sarjan TUDM itu selepas anggota keluarganya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pagi ini.

Akhir Mac lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan 19 Julai ini perbicaraan kes sarjan itu dan seorang ahli perniagaan yang didakwa bersubahat mencuri dan menghapuskan enjin milik TUDM.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh bicara selama lima hari selepas pihak pembelaan memaklumkan mereka telah menerima kesemua dokumen yang diperlukan daripada pihak pendakwaan.

Mahkamah turut mendengar permohonan peguam Rakhbir Singh yang mewakili Tharmendran agar ikat jamin anak guamnya dikurangkan kepada RM10,000 daripada RM150,000 dengan seorang penjamin atas alasan tidak berkemampuan.

Selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, hujahnya wang jaminan yang dikenakan terhadap Thamendran terlalu tinggi jika dibandingkan dengan nilai enjin yang didakwa dicuri itu.

Aslam yang mendengar hujahan permohonan itu kemudian menolaknya secara lisan dan mengekalkan nilai jaminan sebelum ini.

Pada 6 Jan lalu, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pengarah sebuah syarikat pembekalan, K. Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah pada tarikh yang sama, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Oleh kerana tidak dapat mengumpulkan RM150,000 Tharmendran ditahan di penjara sejak enam bulan yang lalu.

Surendran telah pun memfailkan rayuan berhubung perkara itu tetapi belum ada tarikh sebutan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.