Al-Fatihah: Kereta bertembung treler, enam sekeluarga maut

HANCUR ... Keadaan kereta yang terperosok di bawah treler selepas terlibat dalam kemalangan mautdi KM78 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan pada 8.45 malam tadi
Enam sekeluarga terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di KM78 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan pada 8.45 malam semalam.

Mereka dikenali Norfaizah Mansor, 31, dan empat anaknya Norsyahira Atika Saudi, 13; Norsufia Saudi, 10; Norsuhaila Saudi, 7; dan Mohd Shahrul Amir Saudi, 3, serta adik Norfaizah, Mohd Saiful Anwar Mansor, 14.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Amran Sidek, berkata ketika kejadian, semua mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara yang dipandu Norfaizah, dalam perjalanan pulang ke Pekan dari rumah ibu bapanya di Keratong 2, Pekan.

"Sampai di tempat kejadian yang berhampiran dengan Kampung Runchang, kenderaan yang dinaiki mangsa dari arah Segamat cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya namun gagal dan bertembung dengan sebuah treler," katanya di Pekan, hari ini.

Amran berkata, kereta yang dipandu Norfaizah itu terperosok ke bahagian bawah treler berkenaan.

Beliau berkata, kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan dada manakala pemandu treler yang berusia 44 tahun serta isterinya berusia 43 tahun cedera ringan di kaki.

Ayah Norfaizah, Mansor Hamid, 55, berkata kebiasaannya, cucu beliau yang paling kecil, Mohd Shahrul Amir, jarang ikut ibunya balik ke Pekan.

"Tetapi hari ini semua nak ikut balik," katanya yang mengetahui kemalangan itu pada 11 malam sebelum terus bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, anaknya sekeluarga berangkat pulang ke Pekan sekitar 7 malam tadi kerana Norfaizah, yang juga adalah Ketua Pusat Amanah Iktiar Malaysia (AIM) kawasan Tanah Putih, terpaksa pulang ke rumahnya bagi membuat persiapan menghadiri satu mesyuarat AIM hari ini.

Ibu Norfaizah, Arfah Sulung, 54, pula berkata, anaknya itu pulang kerana mahu menemui suaminya yang jarang ditemui kerana bekerja di Bukit Ibam, Muadzam Shah.

"Menantu saya juga berhasrat untuk membawa arwah sekeluarga pergi bercuti di Melaka sempena cuti sekolah ini," katanya.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.