KM Sarawak Umum Semakan Semula Kadar Bayaran Perbaharui Pajakan Tanah ...Gula2 Pilihanraya..!!!


SIBU: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan semakan semula kadar bagi premium untuk memperbaharui pajakan tanah yang berstatus perumahan, komersil dan pertanian.

Beliau berkata kadar baru yang akan berkuatkuasa 1 Jun itu adalah yang terendah berbanding lain-lain negeri di seluruh negara, dan ia akan menetapkan satu kadar tetap tanpa membabitkan pengiraan, kerana sebarang pengiraan akan hanya melambatkan proses itu akibat karenah birokrasi.

Beliau membuat pengumuman itu pada majlis pelancaran Minggu Perpaduan Sarawak oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sibu Town Square di sini.
Berdasarkan kepada caj bayaran itu, kadar memperbaharui penggunaan tanah bagi tujuan perumahan menjadi RM1,000 tiap satu unit rumah teres, RM3,000 tiap satu unit rumah berkembar, dan RM6,000 tiap satu unit banglo.

Tanah bagi bangunan komersil di kawasan bandar utama ditetapkan pada kadar RM40,000 tiap satu unit, bandar kecil (RM20,000 tiap satu unit) dan bandar di pedalaman (RM10,000 tiap satu unit), manakala bagi kegunaan pertanian kadarnya RM5,000 se ekar di kawasan bandar, RM2,500 se ekar (tanah pinggir bandar) dan RM200 se ekar (luar bandar).

"Semua kadar memperbaharui pajakan tanah adalah bagi tempoh 60 tahun," katanya.
Abdul Taib berkata beliau sedar pihak pembangkang memainkan isu berkaitan perkara itu pada kempen pilihan raya negeri yang lepas dan dibangkitkan lagi pada pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Sibu.

Beliau seterusnya mencabar pembangkang untuk menyemak semula kadar tanah di negeri yang dipimpin mereka supaya menjadi lebih rendah daripada Sarawak, dan lihat sama ada mereka masih boleh mentadbir dengan baik semasa perolehan mulai berkurangan.

Sementara itu Muhyiddin memuji langkah yang diambil oleh kerajaan Sarawak untuk menurunkan kadar bayaran bagi memperbaharui pajakan tanah itu.

Beliau berkata keputusan itu menyerlahkan sikap prihatin dan kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak.

"Keputusan ini dibuat bagi kepentingan rakyat, terutama penduduk Sibu," katanya.
- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.