Jurugambar Reuters Turut Terbunuh Dalam Rusuhan di Bangkok


Jurugambar Reuters terbunuh dalam rusuhan di Bangkok

11/04/2010 3:12am

BANGKOK 11 April - Hiro Muramoto, jurugambar agensi berita Reuters dari Jepun terbunuh akibat terkena tembakan ketika berlaku rusuhan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di tengah Bangkok semalam, lapor media.

David Schlesinger, Ketua Pengarang Reuters yang memetik kenyataan pengarah hospital di mana mangsa ditempatkan berkata, peluru yang menusuk dada Muramoto terkeluar di bahagian belakangnya.

“Kematian Muramoto dalam rusuhan yang berlaku di ibu kota Bangkok benar-benar mengejutkan dan menyedihkan seluruh warga di Reuters,” katanya dalam satu kenyataan.

Muramoto antara mangsa dalam rusuhan penunjuk perasaan antikerajaan Baju Merah yang bertempur dengan pasukan keselamatan dengan jumlah kematian kini telah meningkat kepada 15 orang.

Mereka yang terbunuh termasuklah 11 orang awam dan empat pasukan keselamatan.

Manakala lebih 680 orang lagi cedera terkena tembakan peluru getah dan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan dalam usaha menangani rusuhan politik terburuk Thailand sejak tahun 1992.

Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva menyampaikan ucapan takziah kepada semua mangsa, tetapi enggan tunduk kepada tekanan penunjuk perasaan yang mahu beliau meletakkan jawatan.

“Saya dan kerajaan yang dilantik akan terus berusaha menangani masalah yang berlaku,” katanya dalam televisyen yang disiarkan ke seluruh negara.

“Sekarang tentera telah menghentikan operasi dan kumpulan penunjuk perasaan mesti segera berundur dari kawasan yang mereka duduki,” katanya. - AFP

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.