Harga Air: Kedah 4kupang, Sabah 9kupang seliter padu






PENDANG – Dakwaan kerajaan negeri Kedah telah menswastakan urusan bekalan air serta dan menaikkan kadar tarif air di negeri ini satu pembohongan, demikian tegas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yb. Dato’ Ir Haji Amiruddin Hamzah kepada hadirin yang datang pada siri penerangan kerajaan negeri yang diadakan di dewan Majlis Daerah Pendang.

Menurut beliau, bagi memastikan perkhidmatan bekalan air menjadi bertambah baik, kerajaan negeri memutuskan untuk urusan tersebut ditadbir sebagai sebuah syarikat bermula 1 Januari 2010.

Oleh itu jelas beliau, pengkorporatan urusan bekalan air tersebut dari Jabatan Bekalan Air ke Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Ini yang mereka kata kita swastakan? Sada ini sahamnya 100 peratus dipegang kerajaan negeri. (Jadi) swasta macam mana? Kita tidak swastakan cuma ia diurus tadbir sebagai sebuah syarikat. Sebagai syarikat tatakerja menjadi lebih cepat, kurang prosedurnya.

“Yang menswastakan perkhidmatan air (ini) ialah kerajaan dahulu yang memerintah Kedah. Kerajaan dahulu telah menswastakan rawatan bekalan air kepada Syarikat Air Utara Indah,” ujarnya menjelaskan perbezaan antara penswastaan dengan pengkorporatan.

Sedangkan rawatan air katanya, merupakan bahagian paling mudah dalam urusan perbekalan air berbanding kerja-kerja penyaluran, perpaipan, pembaikan, penyiasatan dan seumpamanya yang sangat sukar.

“Kerajaan dahulu juga menswastakan bekalan air di Langkawi. Beban itu hari ini kerajaan sekarang yang tanggung.

“Langkawi ini kosnya kalau kita buat sendiri di bawah SADA akan lebih efisyen. Masa itu (sebelum diswastakan) kosnya hanya 70 sen seliter padu, tiba-tiba bila swasta harganya melambung RM1.92 seliter padu. Ini cerdikkah?” tempelak Amiruddin pada.

Maklumnya, kesan penswastaan dilakukan itu menyebabkan kerajaan negeri perlu menanggung tambahan kos sebanyak RM5juta berbanding hasil yang dikutip setiap tahun.

Amiruddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah Sada turut menyangkal dakwaan bahawa tarif air dinaikkan melalui pengkorporatan tersebut.

Ujar beliau, sekiranya kerajaan negeri ingin menaikkan tarif air, tindakan itu sememangnya wajar memandangkan kali terakhir tarif air negeri ini disemak adalah pada tahun 1983. Pun begitu tegasnya, kerajaan negeri tidak akan menaikkan tarif tersebut.

Maklum beliau, pada ketika ini tarif air di Kedah merupakan kedua terendah di Malaysia iaitu 40 sen seliter padu.

“Paling tinggi, negeri yang kononnya paling maju, negeri Menteri yang komen kita mundur baru ni. Sabah, 90 sen seliter padu, sekali ganda Kedah kerana dia maju dan ‘sempurna’. Kemudian Melaka 63 sen, Johor 61 sen,” ujarnya menyindir.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Kedah sudahpun berkorban dengan tidak menebang balak dipinggir kawasan tadahan air demi menjaga kepentingan bekalan air untuk kegunaan yang pelbagai.

Bagaimanapun katanya, persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk membayar RM100 juta setahun atas ‘pengorbanan’ tersebut masih tidak ditunaikan sehingga kini.

Mengakhiri ucapan, beliau berharap agar maklumat itu disebarluaskan untuk menjawab pembohongan yang sengaja diada-adakan.

**************************************************************
Susulan kejayaan daripada Kem Bina Sahsiah yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kedah, kerajaan bercadang menganjurkan Kem Anak Soleh bagi memastikan peningkatan pembangunan insan di kalangan rakyat Kedah .

Kem yang bakal diadakan pada 13 Mac hingga 15 Mac bertujuan melatih anak-anak muda di Kedah ini mengenal Al-Quran, Allah S.W.T., mahir dalam solat serta tahu mengambil wudhu’ dengan cara yang betul.

Disamping dekat dengan ajaran agama, mereka juga cemerlang dalam akademik bagi melahirkan insan yang berkualiti di dunia dan akhirat.

Demikian jelas Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB. Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul pada siri penerangan kerajaan negeri kepada penduduk di Pendang. Program ini telah diadakan di dewan Majlis Daerah Pendang.

“Kita (kerajaan negeri) menekankan pembangunan insan di Kedah agar ianya seiring dengan pembangunan ekonomi, pada Mac ini kita adakan Kem Anak Soleh yang akan diadakan secara berperingkat-peringkat.

“Kita adakan di Maktab Mahmud di empat daerah dan kita kita adakan di Muassasah Darul Ulum untuk anak-anak yang tinggal di Kuala Kedah,” jelas beliau.

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

2 comments:

  1. nak tanye email x de ke..
    kalau boleh nak online dlm internet je...
    tolong kasi sekarang ???

    ReplyDelete
  2. ahh..
    saya pun nak minta email jugak...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.