Sumbangan Wanita - Cuepacs Tidak Hargai



Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menolak kenyataan setiausaha agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin yang meluahkan kebimbangannya berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.

"Kenyataan tersebut tidak boleh diterima kerana ia telah menidakkan kebolehan dan keupayaan serta sumbangan wanita dalam perkhidmatan awam.

"Adalah menjadi komitmen Pakatan Rakyat selama ini untuk memberi peluang yang sama kepada kaum wanita yang berkebolehan mengembangkan potensi diri mereka serta membuat keputusan," katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, katanya, bukan sekadar menanam tebu di bibir tetapi mengotakan setiap tutur bicara.

"Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang melantik yang dipertua (YDP) pihak berkuasa tempatan daripada golongan hawa atas kebolehannya.

"Pelantikan arkitek Patahiyah Ismail sebagai YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP ) adalah bukti komitmen Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang memberikan layanan yang sama kepada semua tanpa kira kaum, agama, jantina dan latar belakang asalkan berkebolehan, cekap dan bersih," katanya.

Menurut Lim, antara golongan hawa yang turut menjawat jawatan penting di Pulau Pinang termasuk:

1. Rohani Hassan sebagai pegawai daerah Seberang Perai Selatan.

2. Shamiah Bilal, penasihat Undang-undang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

4. Dr Judy Shoba Naidu a/p Robert Rajah, pengarah perkhidmatan perbandaran, Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

5. Maimunah Mohd Sharif, pengurus besar Pejabat Warisan Dunia.

6. Ooi Geok Ling, pengarah urusan (pengarah urusan), Penang Global Tourism.

"Mereka semuanya adalah dilantik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat," tambah Lim.

Menurutnya lagi, jika dilihat dari segi kemasukan ke universiti, purata pelajar wanita adalah dalam lingkungan 65 peratus.

"Maka tidak hairanlah yang memohon jawatan perkhidmatan awam juga lebih ramai wanita daripada lelaki.

"Sekiranya kita hendak menjadikan diskriminasi jantina sebagai alasan untuk tidak memberi peluang kepada penjawat awam wanita, maka ia bukan sahaja membazirkan sumber manusia tetapi juga merugikan negara.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang percaya bahawa sesebuah negara hanya dapat diperkayakan dengan mengamalkan prinsip 3P, iaitu:

- Perkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan, pendidikan dan kepakaran yang memberikan peluang yang sama untuk mewujudkan kemakmuran;

- Perkuasakan Rakyat dengan hak-hak asasi, kebebasan dan kebertanggungjawaban; dan

- Perkayakan Rakyat dengan berkongsikan hasil ekonomi bagi mencapai keadilan sosio-ekonomi.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menyeru supaya semua wanita diberikan peluang yang sama mengembangkan potensi mereka masing-masing.

"Sekiranya mereka tidak diberikan tempat yang selaras dengan kemampuan mereka , maka mereka yang berkebolehan akan dialu-alukan di Pulau Pinang," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.