Runtuhan Menara Masjid: Mangsa terakhir dikeluarkan

INNA LILLAHI WAINNA ILAI RAJIUN....


RABAT 21 Feb. - Pasukan penyelamat semalam mengeluarkan mangsa terakhir daripada lebih 40 jemaah tertimbus yang meninggal dunia selepas menara masjid Maghribi berusia 400 tahun runtuh, lapor sumber rasmi.

“Pihak berkuasa menghentikan operasi menyelamat dan sudah membersihkan runtuhan. Mayat terakhir dikeluarkan awal hari ini (semalam)," kata ahli Parlimen Abdallah Bouanou kepada Reuters dari tempat kejadian.

Beliau memberitahu, jumlah yang terbunuh adalah 41 orang dan 86 orang cedera.

Menara Masjid Lalla Khenata berhampiran Meknes runtuh ketika solat Jumaat, menyebabkan kebanyakan daripada 300 jemaah yang berada di situ tertimbus.

Penduduk yang marah dengan kejadian itu menuduh pihak berkuasa tidak mempedulikan amaran awal berhubung keadaan masjid yang usang dan lambat menjalankan operasi menyelamat.

“Kedengaran seorang lelaki muda meminta tolong semalam (kelmarin) tetapi hanya dikeluarkan pagi ini (semalam), kata Bouanou.

Bagaimanapun, Komander Pertahanan Awam, Alaoui Ismaili, berkata, operasi perlahan itu berpunca daripada keadaan jalan yang sempit, yang menghalang peralatan berat dibawa masuk.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali Mohamed berkata, penduduk sudah berulang kali memberitahu pihak berkuasa bahawa terdapat rekahan besar di dinding dan menara itu bergerak sedikit tetapi mereka tidak mempedulikan amaran berkenaan.

“Kami percayakan Allah dan apa yang berlaku ini sudah ditakdirkan kepada kami tetapi nyawa mangsa yang meninggal dunia boleh diselamatkan jika pihak berkuasa mengambil berat amaran dikeluarkan,” kata seorang penduduk lain yang hanya mahu dikenali sebagai Zouhaier.

Walaupun media tempatan mengatakan runtuhan itu disebabkan hujan lebat, pegawai kanan di situ berkata ia mungkin ekoran faktor lain kerana cuaca di Meknes kelihatan agak baik. - Reuters

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.