MB Kedah Realitikan Janji2 Pilihanraya Umumkan Kenaikan Kadar Bantuan dan Tambahan Peruntukan Untuk Rakyat

PADANG TERAP, 27 Julai: Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah merealisasikan janji pilihan raya untuk menjadikan negeri itu sebagai sebuah negeri berkebajikan dengan mengumumkan kenaikan kadar minimum bantuan amnya mulai tahun hadapan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) berkata, dalam usaha membantu golongan yang memerlukan, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM14 juta pada tahun ini yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri itu.

Menurutnya, jumlah peruntukkan tersebut akan ditambah berikutan kerajaan menaikkan kadar minimum Bantuan Am Negeri kepada RM150 mulai tahun hadapan.

"Bajet 2011 akan datang, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM1.6 juta untuk tujuan tersebut.

“Ini tentang kebajikan rakyat di mana orang miskin amat bergantung kepada pertolongan dan kita kena selesaikan masalah itu dengan secepat mungkin,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Am Kerajaan Negeri di perkarangan Pejabat Daerah Padang Terap, di sini, kelmarin.

Menurut Azizan lagi, kerajaan negeri juga turut menyediakan bantuan Skim Kafalah kepada keluarga si mati yang mendaftar melalui e-Sinar dan bantuan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.

“Kita menyediakan bantuan itu kepada rakyat yang kurang berkemampuan tanpa mengira politik dan kita berharap bantuan yang diberikan itu dapat mengurangkan beban yang terpaksa dihadapi oleh keluarga terbabit,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan juga akan memberi sumbangan kepada golongan guru agama di kampung-kampung yang banyak berjasa mendidik anak-anak bangsa di negeri itu.

"Dia hanya pengawal (bodyguard) Perdana Menteri, saya ADUN empat penggal!" Adun BN Minta PM Pecat Pengawalnya..

"Dia hanya pengawal (bodyguard) Perdana Menteri, saya ADUN empat penggal!" Demikianlah kemarahan yang diluahkan oleh ADUN Damak, Lau Lee yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Pahang, ketika menceritakan pengalamannya menyerah memorandum kepada PM Najib Razak.

"Seorang pengawal PM menghalang saya ketika saya ingin menyerah memorandum kepada PM. Dia mencadangkan supaya saya menyerah kepadanya (pengawal PM), tetapi saya bertegas mahu menyerah dengan sendiri," kata Lau Lee (gambar kiri).

"Dia pula berkata, 'kalau nak, serah kepada saya sekarang, kerana jika pun diserah kepada PM, PM akan bagi kepada saya. Kalau kamu enggan serah kepada saya sekarang, saya akan buang memorandum kamu selepas PM serah kepada saya'," Lau Lee menceritakan bagaimana beliau dilayan oleh pengawal PM, dalam Mesyuarat Agung Tahunan MCA Ngeri Pahang, semalam.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Lau Lee menggesa agar Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Pahang, juga Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai membawa mesejnya ke dalam kabinet untuk disampaikan kepada PM. "Kalau boleh, pecat pengawal ini segera!"

Lau Lee selaku Pengerusi MCA bahagian Jerantut, Pahang, mengetuai satu rombongan untuk menyerah satu memorandum berhubung masalah tanah kepada PM, semasa lawatan Najib Razak ke situ pada 3 Julai 2010. Tanpa diduga, Lau Lee menerima layanan yang buruk daripada pengawal PM, yang mendakwa dirinya bernama Sulaiman.

Malah, menurut laporan China Press, Lau Lee dipetik berkata, "Saya menyerah memorandum kepada PM sebagai seorang ADUN, tetapi perlu mengharungi pelbagai rintangan, daripada polis, setiausaha, pengawal..." Beliau juga berkata, "Walaupun PM melaung-laungkan slogan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan', tetapi setiausahanya, pembantunya, pengawalnya tidak ikut (menyahut seruan PM)..."

Disindir musuh parti

Lantaran daripada laporan tersebut, MCA disindir oleh PKR dari Pakatan Rakyat. ADUN Teja negeri Perak, Chang Lih Kang (gambar kanan) menyifatkan peranan MCA tidak setanding biarpun sebagai "penumpang". Chang Lih Kang sebaliknya menyindir bahawa kejadian layanan buruk pengawal PM terhadap ADUN MCA ini sekali lagi membuktikan bahawa hubungan MCA dengan UMNO dalam Barisan Nasional ibarat "hamba dengan Tuan".

Malah, Chang Lih Kang berkata pemimpin senior MCA ini hanya mengungkit kejadian yang menimpa individu, tetapi tidak menyentuh isu besar seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), penyelewengan dalam pembelian senjata..., kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan UMNO.

*Diterjemah dan disunting dari teks asal.

Bekas Ketua Menteri Sabah Diperintah Bayar RM100,000

PUTRAJAYA 26 Julai - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat (gambar) gagal segala usaha meneruskan projek pembinaan patung Ma Zu (Dewa Laut) di Kudat setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonannya bagi mendapatkan kebenaran merayu.

Sebaliknya, beliau diperintah membayar RM100,000 kepada empat responden setelah panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff menolak permohonan itu dengan kos.

Keempat-empat responden itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk K.Y. Mustafa; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Ujang Sulani; serta Lembaga Bandar Kudat.

Hakim Alauddin dalam keputusan sebulat suara itu memerintahkan Kah Kiat menjelaskan jumlah itu secara peribadi melibatkan tiga peringkat prosiding bermula dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

Turut bersidang bersama beliau ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Kelulusan bagi mendirikan patung 10 tingkat dengan ketinggian 14 meter itu dikeluarkan kepada Yayasan Kebajikan Thean Hou Kudat yang diketuai oleh Kah Kiat pada 8 Februari 2007.

Bagaimanapun, kebenaran daripada Lembaga Bandar Kudat itu ditarik balik pada 15 November 2007 berikutan lokasi yang tidak sesuai menyebabkan projek yang hampir 95 peratus siap itu dihentikan.

Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, pada 12 Disember 2007, Kah Kiat memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi membatalkan penarikan balik surat kebenaran dan mengisytiharkan ia sah dan terpakai bagi semua pihak.

Keempat-empat responden kemudian memohon agar saman itu diketepikan. Bagaimanapun ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi menyebabkan mereka merayu ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos tahun lalu mengetepikan saman Kah Kiat setelah berpuas hati bahawa beliau tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk merayu kerana yayasan yang dipengerusikannya itu tidak didaftarkan secara sah.

Pada prosiding hari ini, peguam Raja Aziz Addruse ketika berhujah mewakili Kah Kiat menyatakan, Mahkamah Rayuan tersilap kerana gagal menimbang isu penting dan hanya memfokus kepada persoalan sama ada yayasan itu merupakan persatuan yang tidak sah.

Beliau menghujahkan, panel itu terkhilaf kerana gagal menimbang sama ada wujud keperluan dari segi undang-undang untuk memutuskan bahawa yayasan itu mesti didaftarkan sebagai sebuah persatuan.

Sementara itu, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang berhujah mewakili keempat-empat responden menyatakan bahawa Kah Kiat tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk merayu setelah bertindak selaku pengerusi terhadap yayasan yang tidak didaftarkan secara sah.

Sehubungan itu, beliau menyatakan, Kah Kiat tidak memenuhi kriteria di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman yang membolehkannya mendapat kebenaran merayu.

Isu pembinaan patung itu menimbulkan kontroversi apabila Kah Kiat mendedahkan bahawa antara punca beliau meletak jawatan adalah kerana dihalang membinanya sedangkan kelulusan telah diberikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Kapor itu meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah pada 13 April 2007.

HPA buka restoran segera Islam pertama di Kelantan

imagesKOTA BHARU: Kumpulan HPA Industries Sdn Bhd (HPA) membuka restoran makanan segera Islam yang pertama, Radix Fried Chicken (RFC), di Bandar Baru Kubang Kerian dekat sini semalam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah merasmikan pembukaan restoran itu. Keistimewaan RFC ialah ia menghidangkan ayam goreng organik, lapor Bernama.

Pengarah Urusan HPA, Ismail Ahmad berkata pihaknya bercadang memperluaskan projek ternakan ayam jenis ini, iaitu yang diberi bahan makanan organik, untuk dibekalkan kepada semua rangkaian restorannya yang bakal dibuka.

“Kita bercadang membuka rantaian 11 lagi restoran ini menjadikan 12 buah kesemuanya sebelum akhir tahun ini,” katanya pada majlis perasmian itu.

RFC yang pertama terletak di Sungai Petani, Kedah yang dibuka sejak tiga tahun lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.