"Dia hanya pengawal (bodyguard) Perdana Menteri, saya ADUN empat penggal!" Adun BN Minta PM Pecat Pengawalnya..

"Dia hanya pengawal (bodyguard) Perdana Menteri, saya ADUN empat penggal!" Demikianlah kemarahan yang diluahkan oleh ADUN Damak, Lau Lee yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Pahang, ketika menceritakan pengalamannya menyerah memorandum kepada PM Najib Razak.

"Seorang pengawal PM menghalang saya ketika saya ingin menyerah memorandum kepada PM. Dia mencadangkan supaya saya menyerah kepadanya (pengawal PM), tetapi saya bertegas mahu menyerah dengan sendiri," kata Lau Lee (gambar kiri).

"Dia pula berkata, 'kalau nak, serah kepada saya sekarang, kerana jika pun diserah kepada PM, PM akan bagi kepada saya. Kalau kamu enggan serah kepada saya sekarang, saya akan buang memorandum kamu selepas PM serah kepada saya'," Lau Lee menceritakan bagaimana beliau dilayan oleh pengawal PM, dalam Mesyuarat Agung Tahunan MCA Ngeri Pahang, semalam.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Lau Lee menggesa agar Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Pahang, juga Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai membawa mesejnya ke dalam kabinet untuk disampaikan kepada PM. "Kalau boleh, pecat pengawal ini segera!"

Lau Lee selaku Pengerusi MCA bahagian Jerantut, Pahang, mengetuai satu rombongan untuk menyerah satu memorandum berhubung masalah tanah kepada PM, semasa lawatan Najib Razak ke situ pada 3 Julai 2010. Tanpa diduga, Lau Lee menerima layanan yang buruk daripada pengawal PM, yang mendakwa dirinya bernama Sulaiman.

Malah, menurut laporan China Press, Lau Lee dipetik berkata, "Saya menyerah memorandum kepada PM sebagai seorang ADUN, tetapi perlu mengharungi pelbagai rintangan, daripada polis, setiausaha, pengawal..." Beliau juga berkata, "Walaupun PM melaung-laungkan slogan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan', tetapi setiausahanya, pembantunya, pengawalnya tidak ikut (menyahut seruan PM)..."

Disindir musuh parti

Lantaran daripada laporan tersebut, MCA disindir oleh PKR dari Pakatan Rakyat. ADUN Teja negeri Perak, Chang Lih Kang (gambar kanan) menyifatkan peranan MCA tidak setanding biarpun sebagai "penumpang". Chang Lih Kang sebaliknya menyindir bahawa kejadian layanan buruk pengawal PM terhadap ADUN MCA ini sekali lagi membuktikan bahawa hubungan MCA dengan UMNO dalam Barisan Nasional ibarat "hamba dengan Tuan".

Malah, Chang Lih Kang berkata pemimpin senior MCA ini hanya mengungkit kejadian yang menimpa individu, tetapi tidak menyentuh isu besar seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), penyelewengan dalam pembelian senjata..., kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan UMNO.

*Diterjemah dan disunting dari teks asal.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.