Format Majlis 'Tanah & Rakyat' Diubah, Majlis Sembang Kedai Kopi

Majlis 'Tanah dan Rakyat' anjuran DAP Kuching yang diarahkan oleh polis supaya dibatalkan pada Sabtu ini akan tetap diteruskan tetapi formatnya akan diubah.

“Daripada memberi ucapan, penceramah yang hadir di kedai kopi dan orang ramai boleh mengajukan soalan kepada mereka,” kata pemimpin DAP Sarawak yang juga ahli parlimen Kuching, Chong Chieng Jen.

Pada asalnya, DAP bercadang menganjurkan seminar berhubung isu tanah tetapi permitmereka ditolak oleh polis dengan alasan tempat yang dicadangkan itu tidak sesuai.

Chong ketika dihubungi berkata polis tidak boleh menggangu majlis mereka, yang dijangka akan menarik minat beberapa ratus penduduk bandar kerana “permit tidak diperlukan bagi duduk sambil menghirup secawan kopi.”

“Mereka tidak boleh menghalau kami keluar dari kedai kopi berkenaan kerana apa yang akan kami lakukan ialah duduk sambil menjawap soalan yang dikemukakan,” kata Chong.

Menurut pemimpin DAP itu lagi alasan polis yang majlis itu akan mengganggu kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan juga tidak masuk akal kerana kedai kopi itu terletak di kawasan yang jumlah trafiknya agak rendah.

Katanya, beliau percaya tindakan polis itu bermotifkan politik yang dianggap satu lagi bentuk tekanan daripada kerana BN dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

“Polis seolah-olah cuba campur tangan dengan politik...atau bertindak atas arahan sesetengah parti politik.

“Tanah adalah isu yang penting dan banyak berlaku skandal membabitkan pemimpin BN, jadi lebih ramai rakyat yang datang, mereka akan tahu tembelang pemimpin BN dan mereka akan kehilangan sokongan,” kata Chong.

Tambahnya, majlis berkenaan tidak boleh dipindahkan kerana notis daripada pihak polis diterima lambat.

Akhirnya Hampa Tiru Juga Apa Yang YB DS Nizar Buat Sebelum Ini....

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 23 Julai - Langkah kerajaan negeri Perak di bawah Umno-Barisan Nasional menganugerahkan lebih 1,000 hektar tanah kepada sembilan sekolah indipenden Cina membuktikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akhirnya terpaksa mengakui dasar yang dibuat semasa Pakatan Rakyat berkuasa di negeri itu adalah yang terbaik untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata idea yang dicedok daripada pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan kepada rakyat Perak dasar serta program yang dilaksanakan oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sebelum ini sebenarnya mendahului di segi idea dan perlaksanaan untuk memberikan kebajikan kepada rakyat.

"Nampaknya Zambry mengikut jejak langkah Nizar dengan membuat pengumuman pemberian bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Cina Persendirian di negeri ini dalam isu pemberian tanah bagi menampung perbelanjaan sekolah terbabit.

"Dulu mereka menganggap apa yang hendak dilakukan cuma retorik politik tetapi sekarang ini mereka mengakui apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat itu betul," kata Idris ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau juga melihat kerajaan Umno-BN meniru apa sahaja dasar yang dilakukan oleh negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat kerana ketandusan idea.

Beliau mengambil contoh dasar yang diperkenalkan kerajaan negeri Kelantan yang memberi cuti bersalin 90 hari serta beberapa dasar yang lain yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Kerajaan Umno-BN memperkenalkan dasar-dasar yang dibuat oleh Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan mereka ketandusan idea dan terkebelakang dalam isu menguruskan kebajikan untuk rakyat," ujar beliau lagi.

Berhubung isu tanah yang diberikan kepada masyarakat Cina yang sebelum ini dipolitikkan oleh pemimpin Umno-BN yang dianggap tidak sah, hari ini pula Zambry mengumumkan hal yang sama tanpa dipertikaikan oleh pemimpin Umno yang sama, kata Idris.

Selasa lalu Zambry mengumumkan 1,012 hektar tanah akan diberikan bagi menampung perbelanjaan sembilan sekolah Cina bebas di negeri itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Exco Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Akhirnya SPRM Terima Afidavit Bala Setelah Puas Berdalih

Oleh Sidiqin Omar

PUTRAJAYA 23 Julai - Setelah drama yang dimainkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Jaya yang membatalkan sesi mengambil keterangan dari bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam di London awal Julai lalu, akhirnya agensi kontroversi tersebut terpaksa akur dan menerima respons kepada 52 soalan yang dikemukakan kepada Bala berhubung kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Semalam tiga peguam kepada Bala - Americk Sidhu, Manjeet Singh Dhillon dan Amerjit Singh - tiba di SPRM kira-kira pukul 2.45 petang dengan diiringi seorang pengawal peribadi untuk menyerahkan afidavit tersebut yang telah diakui dihadapan notari di London dan di bawa pulang oleh Manjeet malam Isnin lalu.

Americk bersama dua orang rakannya dilihat keluar daripada ibu pejabat SPRM hampir sejam kemudian.

"Kita telah hantar dokumen berkenaan dan mereka telah pun menerimanya. Ia merupakan satu pertemuan yang santai dan mereka kelihatan sangat berminat dan memaklumkan kepada kami bahawa mereka akan memberikan komitmen untuk menyelesaikan kes tersebut dengan secepat mungkin," kata Americk yang ditemui di perkarangan ibu pejabat SPRM.

Dokumen tersebut merupakan jawapan dalam bentuk afidavit kepada soalan yang dikemukakan kepada Bala yang dihantar melalui perkhidmatan kurier, selepas SPRM membatalkan rancangannya untuk ke London bagi menyiasat secara langsung penyiasat persendirian yang dijadual pada 5 hingga 7 Julai lalu.

Americk berkata semua saksi berkaitan kes tersebut telah disoal siasat, dan Bala merupakan saksi yang terakhir.
Beliau menjelaskan afidavit ini tidak ada kaitan dengan perjalanan kes siasatan komisyen pembelian kapal selam Scorpene di Perancis, tetapi pada masa yang sama mampu membantu SPRM dalam penyiasatan kes berkenaan.

"Kita ambil masa tiga hari untuk jawab soalan itu. Ia telah dijawab dan kita bahkan memberikan sedikit maklumat tambahan, berkenaan bayaran kepada Balasubramaniam," tambah Americk tanpa memberi butiran.

Ketika ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula oleh SPRM bagi membantu perjalanan siasatan, Americk berkata kemungkinan susulan dari jawapan yang diberikan, Bala akan dihubungi melaluinya untuk memberikan butiran lanjut.

"Sebelum ini pun, SPRM ada menyimpan dokumen dan maklumat dari keterangan Bala, jadi ia terpulang kepada SPRM untuk tindakan lanjut. Kita tunggu dan lihat," kata Americk.

Ditanya samada Bala akan kembali ke Malaysia, Americk tidak menolak kemungkinan tersebut, namun anak guam beliau akan hanya kembali sekiranya keselamatan diri dan keluarganya terjamin.

Azmin Ali: Idea Parti Baru Cermin Ibrahim Ali Kolot 'Seperti Katak Bawah Tempurung'

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menyifatkan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali seperti “katak di bawah tempurung” kerana masih mempunyai pemikiran yang ketinggalan zaman.

Dengan merujuk kepada idea terbaru Perkasa semalam agar Umno dan PAS dibubarkan lalu ditubuhkan parti baru, Azmin memberitahu, Ibrahim masih lagi mengamalkan pemikiran dan pendekatan yang kolot dan ketinggalan zaman.

“Saya kesal dengan kenyataan Ibrahim kerana saya lihat sebagai pemimpin beliau masih mempunyai pemikiran dan pendekatan yang kolot seperti pepatah Melayu ‘katak di bawah tempurung’.

“Saya tidak sangka masih ada pemimpin Melayu yang sikap perkaumannya masih lagi menebal sedangkan dunia sekarang sudah maju ke depan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sepatutnya sebagai seorang pemimpin kata Azmin, beliau perlu keluar daripada kotak pemikiran lama dan memikirkan cara untuk maju ke depan bukannya dengan berpegang kepada amalan perkauman seperti dahulu.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Ibrahim yang mengatakan sebuah parti Melayu yang baru perlu ditubuhkan sebagai pilihan terakhir jika kesemua usaha untuk menyatukan kerjasama PAS dan Umno gagal.

Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini berkata, parti baru ini seharusnya mengadaptasikan objektif kedua-dua PAS dan Umno.

“Saya tahu idea ini sesuatu yang provokatif, tetapi perlembagaan untuk satu parti Melayu yang baru, yang menggabungkan matlamat PAS dan Umno boleh dirangka oleh sebuah jawatankuasa pemandu,” kata Ibrahim.

Kata Ibrahim, ia adalah mekanisme menjaga air muka, sekali gus mengelakkan persoalan sama ada PAS harus menyertai Barisan ataupun sebaliknya tidak timbul sama sekali.

“Bubarkan PAS, bubarkan Umno dan semua sertai parti baru,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perkasa semalam.

Azmin berkata apa yang diperlukan rakyat bukan sebuah parti yang bersifat perkauman tapi adalah parti politik yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Bumiputera.

“Parti politik pelbagai kaum ini akan memperjuangkan dasar negara dengan adil kepada semua rakyat Malaysia dan pada masa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang negara selama ini.

“Apa guna sebuah parti Melayu sekiranya pemimpin di dalamnya bergelumang dengan rasuah, penyelewengan, tidak menghormati hak asasi manusia da sebagainya,” katanya.

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan ini berkata rakyat sebenarnya mahu melihat pemimpin Melayu maju ke depan dengan mengamalkan prinsip-prinsip keadilan dan memartabatkan orang Melayu itu sendiri.

“Ini yang rakyat mahu lihat bukan seperti Perkasa yang dilihat seolah-olah gagal untuk meyakinkan orang Melayu tentang perjuangan mereka,” katanya.

Perkasa datang dengan idea ini ketika Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mahu Umno dan PAS mengambil langkah membincangkan kerjasama perpaduan.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak yakin bahawa pemimpin PAS mempunyai kebijaksanaan yang tinggi untuk menilai propaganda dan sandiwara yang dimainkan Umno.

“Saya yakin pemimpin PAS yang dipimpin Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan terperangkap dengan apa jua propaganda dimainkan Umno,” katanya.

-TMI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.